KUANTAN: Kerajaan negeri berjaya merekodkan kutipan hasil RM1 bilion buat tahun keempat berturut-turut setakat hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga optimis dapat mencapai sasaran Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion.
“Pagi tadi saya dimaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri sebanyak RM996 juta dan tadi saya dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam, beliau ada cek yang harus bawa berkaitan perumahan sebanyak RM4 juta lebih.
“Ini menjadikan jumlahnya melebihi RM1 bilion. Jadi pada hari ini saya boleh sahkan bahawa kerajaan negeri telah mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion. Maknanya kita akan dapat lebih dari itulah (RM1 bilion). Ini baru bulan 11, kita ada sebulan lebih lagi,” katanya.
Mengulas tentang pemberian bantuan kewangan kepada penjawat awam Persekutuan di negeri ini, beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah terbaik penyalurannya.
“Buat julung kalinya kita menghargai penjawat awam persekutuan tetapi kerajaan negeri tidak mampu nak bagi semua sebab terlampau ramai, berpuluh ribu orang.
“Jadi saya telah meminta Pejabat Kewangan Negeri membuat simulasi untuk memberi secara token. Maknanya kalau kerajaan negeri nak bagi RM200 kepada mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah berapa implikasi kewangan. Kalau kita nak bagi RM300 kepada penjawat awam bergaji RM4,000 ke bawah contohnya, berapa implikasi kewangannya?
“Tapi pokoknya saya boleh bagi jaminan dengan tanda ingatan dan kasih sayang, kita akan bagi sedikit sama ada RM100, RM200 atau RM300. Saya akan bincang bersama dengan rakan-rakan Exco dan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Tetapi ada,” katanya. – UTUSAN






