Malaysia Oversight

Gobind minta pembangkang baca sebelum tanya

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Gobind minta pembangkang baca sebelum tanya


PARLIMEN | Menteri Digital Gobind Singh Deo menegur pihak pembangkang di Dewan Rakyat apabila mereka mengemukakan soalan yang dianggapnya tanpa meneliti isi kandungan dokumen terlebih berkaitan terlebih dahulu.

Kenyataan itu dibuat selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan soalan tambahan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika (ART) ketika menteri terbabit menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya mengenai peranan Malaysia dalam rangkaian AI Safe Asean.

“Saya minta Pasir Mas (Ahmad Fadhli) baca baik-baik artikel-artikel yang berkaitan itu. Persetujuan itu lain, consult (rundiangan) itu lain. Ini perkataan yang sangat basic.

“Saya tak faham di sebelah sana (pembangkang) yang tak faham bahasa yang mudah-mudah ini. Baca dokumen itu, sama-sama kita membina negara ini.

“Soalan yang saya jawab hari ini berkaitan dengan AI Safe. Jawapan saya berkaitan dengan perbincangan yang diadakan semua menteri-menteri digital serantau.

“Saya katakan: ya, ada perbincangan. Tapi, soalan yang dilontarkan itu seolah-olah tidak ada perbincangan, ada kekangan dan sebagainya. Apa yang kamu cakap ini, tak faham langsung ke?” soal Gobind.

Terdahulu, Ahmad Fadhli bertanya kenapa Malaysia dianggapnya berbeza dengan Kemboja yang terlebih dahulu menandatangani perjanjian dengan AS lebih awal.

Sudah tanya pakar

Dia turut mendakwa komitmen Kemboja terhadap perkhidmatan perdagangan digital dan pelaburan dan rangka kerja pemindahan data yang dipercayai itu tidak ada dalam perjanjian Malaysia.

“Adakah benar-benar mahu jadikan Malaysia sebagai AI Nation pada 2030?

“Berdepan dengan halangan ART ini, adakah sebenarnya kita sedang menyerahkan kunci kedaulatan digital kepada negara lain dan menjadikan Malaysia sekadar makmal uji kaji algoritma syarikat Silikon Valley,” katanya.

Sementara itu, Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa masih enggan menjawab soalan-soalan berkaitan ART di sebalik rasa hormat pembangkang kepada Gobind yang dianggap tenang dan berasaskan fakta.

Namun, kata Shahidan, hari ini menteri terbabit kelihatan agak emosional.

“Tidak perlu begitu… kami hanya mahu menjawab apa yang kami tanyakan.

“Semasa sesi Soalan Perdana Menteri (PMQT) pun, kami tidak mendapat jawapan yang jelas. Begitu juga ketika Tengku Zafrul (Aziz) menjawab, beliau sekadar menuduh kami tidak menghormati pegawai kerajaan.

“Apa yang kami mahu hanyalah jawapan kepada soalan kami,” katanya.

Bekas Menteri Besar Perlis itu juga memberikan respons terhadap dakwaan pembangkang tidak dapat memahami bahasa Melayu yang mudah.

Kata Shahidan, PN sudah membuat rujukan pada pelbagai pihak termasuk peguam terkemuka di negara ini.

“Semuanya memberikan pandangan yang sama. Jadi, apakah kami ini terlalu lekeh sampai tidak faham bahasa?” katanya.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, dan B Nantha Kumar.



Source link