Malaysia Oversight

Lebih 100,000 juruteknologi, juruteknik terima pengiktirafan MBOT

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
Lebih 100,000 juruteknologi, juruteknik terima pengiktirafan MBOT


PARLIMEN l Seramai 107,423 juruteknologi dan juruteknik telah menerima pengiktirafan profesional daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) merangkumi 24 bidang teknologi setakat Oktober tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata MBOT kini turut memperluaskan skop pengiktirafan kepada bidang teknologi baharu muncul merentas pelbagai sektor seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan bidang tersebut diiktiraf setaraf disiplin profesional lain termasuk kejuruteraan dan perubatan.

“Ini memberi laluan rasmi kepada bakat berkemahiran teknikal dan teknologi untuk diiktiraf sebagai Teknologis Profesional (Ts) dan Juruteknik Bertauliah (Tc),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Larry Sng (PBM-Julau) mengenai usaha kementerian memperkasa bakat dalam bidang teknologi baharu muncul termasuk pengiktirafan setara profesion lain.

Chang berkata dalam aspek akreditasi program akademik, MBOT mempunyai kerangka khusus berkaitan AI yang membolehkan institusi pengajian tinggi menawarkan program berteraskan teknologi berkenaan.

Beliau berkata antara institusi yang menawarkan program berkaitan AI termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Selain itu, bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, MBOT turut memberi akreditasi kepada kursus jangka pendek berteknologi termaju termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), semikonduktor dan automasi Internet Kebendaan (IoT),” katanya.

Menjawab soalan tambahan Sng mengenai kerjasama antarabangsa bagi memastikan pengiktirafan MBOT selaras piawaian global, Chang berkata MBOT adalah penandatangan penuh (signatory) Seoul Accord, iaitu perjanjian akreditasi bersama antarabangsa dalam bidang pengkomputeran dan teknologi maklumat (ICT).

Seoul Accord merangkumi kerjasama dengan Australia, Kanada, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

– Bernama



Source link