Malaysia Oversight

AGC akan rayu keputusan Mahkamah Tinggi

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
AGC akan rayu keputusan Mahkamah Tinggi


Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes aktivis sosial Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Dalam dua kenyataan berasingan, AGC memaklumkan ia akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan yang memutuskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab atas kehilangan kedua-dua individu itu.

Semalam, Hakim Su Tiang Joo memutuskan polis dan bertanggungjawab secara tidak langsung (vicariously liable) terhadap kehilangan Amri, dan mengarahkan membayar pampasan sebanyak RM3 juta kepada isterinya, Norhayati Ariffin.

Hakim mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan penghakimannya, dengan menganugerahkan RM2 juta sebagai ganti rugi am dan RM1 juta sebagai ganti rugi teladan (exemplary damages).

Selain itu, Su turut mengarahkan bayaran RM14,457.52 sebagai ganti rugi khas dan RM250,000 untuk kos kepada plaintif.

Dalam kes berasingan, Su turut mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada Pastor Koh melalui akaun amanah sehingga dia ditemui. Bayaran itu dikira bermula 3,187 hari lalu, iaitu pada 13 Februari 2017 — tarikh Koh diculik.

Su juga menganugerahkan RM4 juta ganti rugi, RM1 juta ganti rugi teruk (aggravated damages) atas kelewatan berpanjangan dalam penemuan dia, dan RM1 juta lagi bagi tindakan melanggar perlembagaan yang dilakukan terhadapnya oleh pihak defendan.

Mahkamah turut memberikan pampasan berasingan kepada isteri Koh, Susanna Liew, selaku plaintif kedua, berjumlah RM2 juta sebagai ganti rugi am dan teruk atas tekanan mental yang dialaminya, serta tambahan RM1 juta sebagai ganti rugi teladan.

Dalam kedua-dua keputusan itu, hakim Su turut mengarahkan polis membuka semula siasatan terhadap kes berkenaan dan menyerahkan laporan kemajuan kepada peguam negara setiap dua bulan.

Amri, yang didakwa sebagai penganut Syiah dan penyebar fahaman tersebut, dilaporkan hilang pada malam 24 November 2016 di Kangar, Perlis.

Isterinya, Norhayati, sebelum ini memberi keterangan bahawa seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Shamzaini Mohd Daud, telah memberitahunya pada malam 12 Mei 2018 bahawa bahagian itu yang melaksanakan penculikan tersebut.

Sementara itu, Koh, 62 tahun, diculik oleh sekumpulan lelaki di sepanjang Jalan SS4B/10, Petaling Jaya ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya. Rakaman CCTV yang dipercayai merakam kejadian tersebut menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam terlibat dalam penculikan itu.

Pada tahun 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan bahawa Amri dan Koh adalah mangsa kehilangan paksa (enforced disappearance) yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.

Timbalan perdana menteri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, menafikan dia pernah mengarahkan penculikan tersebut ketika mengetuai Kementerian Dalam Negeri sepanjang tempoh sebagai menteri.



Source link