PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menjadikan pembelaan terhadap tujuh pemain warisan negara sebagai keutamaan apabila membawa kes hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, langkah itu lebih wajar difokuskan bagi menyelamatkan karier pemain yang digantung, berbanding sekadar berhasrat mencabar keputusan FIFA yang dilihat mempunyai asas bukti kukuh.
Katanya, dua keputusan terdahulu daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman sama sudah cukup membuktikan bahawa kesalahan dilakukan dianggap serius oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Jelasnya, wajar atau tidak untuk dibawa ke CAS bergantung kepada keputusan FAM sendiri, malah beliau mengingatkan badan induk bola sepak negara itu supaya menyediakan asas yang kukuh jika berhasrat menentang keputusan FIFA.
“FAM sudah melalui dua peringkat iaitu Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan FIFA dan kedua-duanya mengekalkan keputusan sama. Itu menunjukkan kesalahan yang dilakukan disokong oleh bukti yang kukuh dan sahih.
“Dalam proses rayuan pun sudah ada sesi penghujahan dan soal jawab, jadi kalau keputusan masih kekal, maknanya kes ini kesalahan besar.
“Saya bukan orang yang ada kuasa untuk cakap wajar atau tidak dibawa kes ke CAS tetapi jika FAM sendiri mempunyai asas kukuh silakan. Mungkin perkara utama boleh dibawa ke CAS adalah memohon rayuan bagai pengurangan hukuman terhadap tujuh pemain warisan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pekan juga tidak menolak, keputusan CAS nanti akan memberi impak kepada kedudukan skuad Harimau Malaya dalam ranking dunia dan juga kedudukan kelayakan Piala Asia 2025.
“Jika mengambil kira kes-kes sebelum ini, tentu sekali ia akan memberi kesan kepada skuad kebangsaan. Bagi saya mungkin antara hukuman dikenakan adalah pemotongan mata.
“Jika dipotong mata, tentu sekali kedudukan Harimau Malaya di ranking dunia dan kelayakan Piala Asia akan terjejas. Apa pun kita perlu tunggu hingga kes di CAS selesai,” jelasnya.-UTUSAN






