KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perbankan di negara ini semakin meningkat, khususnya dalam kalangan institusi peringkat kedua dan ketiga, apabila bank-bank berusaha memodenkan sistem lama serta memperkukuh kawalan terhadap jenayah kewangan.
Ketua Strategi & Inovasi, Perkhidmatan Kewangan SymphonyAI, Jason Shane berkata, bank-bank di Malaysia dan rantau ASEAN sedang giat melaksanakan penyelesaian berasaskan AI dalam proses pematuhan dan pemantauan penipuan.
Katanya, antara tumpuan utama ialah model ‘pematuhan 50/50′, yang menggabungkan kepakaran manusia dengan ejen AI untuk menguruskan amaran transaksi dan saringan pematuhan.
“Kami sedang melihat bagaimana teknologi baharu dan ejen AI boleh dibawa masuk ke dalam proses ini supaya penganalisis dapat menggunakan maklumat dengan lebih berkesan dan menghasilkan keputusan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perbincangan meja bulat bersama media sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) Ke-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.
Jason berkata, agentic AI digunakan untuk mengendalikan sebahagian besar analisis awal, sekali gus mengurangkan beban kerja manual dan membolehkan penganalisis memberi tumpuan kepada tugas yang lebih kompleks dan memerlukan pertimbangan manusia.
“Ia membantu memudahkan proses dan secara signifikan mengurangkan masa yang diambil penganalisis untuk menyelesaikan tugasan harian mereka,” jelasnya.
“Selain pematuhan, teknologi ini turut digunakan dalam saringan sekatan dan pasca-pemprosesan data, bagi mengurangkan keputusan positif palsu serta mengenal pasti risiko baharu.
“Kami membantu bank mengurangkan gangguan dalam sistem dan menumpukan kepada ancaman sebenar,” ujarnya.
Menurutnya, impak penerapan AI dalam semua peringkat bank adalah sangat positif, dengan semakin banyak institusi menunjukkan keyakinan terhadap keupayaannya mentransformasi operasi serta memperkukuh rangka kerja anti-jenayah kewangan.
Mengulas mengenai mengenai kadar penggunaan AI, beliau menjelaskan bahawa tahap Malaysia kini sekitar 50 peratus, hampir sama dengan purata serantau.
“Apabila institusi menjawab tinjauan mengenai penggunaan AI, ramai yang berhati-hati untuk mendakwa mereka telah mencapai ‘penggunaan penuh’ kerana masih tidak pasti apa maksud sebenar istilah itu.
“Perkara yang lebih penting ialah tahap kesedaran dan kesiapsiagaan. Bank-bank Malaysia kini bukan sahaja melabur dalam teknologi, tetapi juga dalam pembangunan bakat untuk bersedia menghadapi penggunaan penuh AI,” jelasnya. – UTUSAN






