PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sedia untuk menanggung segala kos berkenaan kes melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” titah Tunku Mahkota Ismail kepada Utusan Malaysia ketika ditanya adakah baginda bersedia membantu FAM dan tujuh pemain terlibat dalam usaha mendapatkan keadilan selepas dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kenyataan itu membuktikan Tunku Mahkota Ismail begitu prihatin terhadap nasib tujuh pemain terbabit yang sebelum ini dijatuhkan hukuman oleh FIFA berhubung isu status kelayakan bermain untuk skuad Harimau Malaya.
Terdahulu, FAM mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS selepas rayuan terhadap keputusan FIFA ditolak Isnin lalu, sekali gus menjadi peluang terakhir untuk mereka mendapatkan pembelaan.
Hasrat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk menanggung segala kos guaman dan perjalanan dijangka meringankan beban kewangan FAM selain memberi keyakinan baharu kepada pasukan perundangan Malaysia dalam memperjuangkan hak pemain.
Baginda turut menegaskan tidak gentar jika tindakan atau kenyataannya terhadap FIFA mengundang sebarang tindakan daripada badan induk bola sepak dunia itu.
“Tidak (bimbang dikenakan tindakan FIFA). Silakan,” tegas Tunku Ismail, mengulas mengenai kemungkinan berdepan tindakan kerana mengkritik FIFA secara terbuka baru-baru ini.
Sebelum itu, harapan FAM mengubah keputusan penggantungan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA tidak kesampaian apabila gagal dalam proses rayuan.
Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM.-UTUSAN






