Malaysia Oversight

Penduduk Kg Papan protes depan BNM, tuntut janji beri rumah

By MkiniBM in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Penduduk Kg Papan protes depan BNM, tuntut janji beri rumah


Kira-kira 80 penduduk dari sebuah kampung di Klang yang berdepan tindakan pengusiran berkumpul secara aman di hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur bagi menuntut penempatan yang telah dijanjikan kepada mereka sejak beberapa dekad lalu.

Penduduk yang kebanyakannya menetap di Kampung Papan, Klang sejak turun-temurun meminta anak syarikat BNM, TPPT Sdn Bhd, agar menghentikan tindakan pengusiran sehingga isu perumahan mereka diselesaikan.

Dengan membawa plakad dan sepanduk, penduduk kampung meluahkan rasa tidak puas hati terhadap notis pengusiran baru yang mengarahkan mereka mengosongkan rumah masing-masing sebelum 10 Nov.

“Mereka beri notis untuk robohkan rumah kami, sebab itu kami datang hari ini.

“TPPT perlu beri penjelasan yang sewajarnya, dan tidak merobohkan rumah kami sebelum isu ini diselesaikan,” kata salah seorang penduduk Teoh Ah Guat.

ae5ceb867c53fdc66a814c25f774674b

Wanita berusia 63 tahun yang telah menetap di kampung Pandamaran lebih 30 tahun itu meluahkan rasa terkilan dengan layanan tidak adil selepas notis pengusiran pada 27 Okt mengarahkan penduduk tinggal di rumah atau berisiko kediaman mereka dirobohkan pemaju.

Protes hari ini menyaksikan lima wakil daripada Kampung Papan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertemu pegawai BNM bagi menyerahkan memorandum yang menyatakan tuntutan mereka.

“Dalam memorandum itu, kami maklumkan dua perkara utama. Pertama, memastikan hanya rumah kosong saja yang dirobohkan seperti yang dipersetujui dengan negeri .

“Kedua, membincangkan penyelesaian sementara bagi penduduk yang belum menerima rumah ganti. Kami juga telah hantar surat kepada Perdana Menteri untuk campur tangan,” kata Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan.

38d08a958d2daff428c51087ec268e76

Arutchelvan berkata pegawai BNM memaklumkan mereka tidak boleh membuat keputusan segera, tetapi isu tersebut akan dibawa ke pihak atasan.

Mengulas peranan TPPT, Arutchelvan menjelaskan bahawa tanah tersebut telah dijual kepada pemaju Melati Ehsan Sdn Bhd, namun TPPT masih terlibat sebagai pemilik asal tanah dan memberi kuasa kepada pemaju untuk mengurus projek tersebut.

Menurut memorandum yang dikongsi dengan Malaysiakini, TPPT Sdn Bhd pada asalnya diberikan hak milik tanah tersebut oleh negeri untuk menangani isu setinggan, merancang pembangunan bandar secara teratur dan menyediakan penempatan semula kepada penduduk terjejas.

995990bcce2216ae2a28310c3cee323e

Namun, penduduk Kampung Papan berkata janji tersebut masih belum ditunaikan walaupun telah menunggu bertahun-tahun.

Penduduk kampung tersebut mempunyai sejarah panjang dengan kawasan penempatan itu sejak sebelum Merdeka.

Pada mulanya, mereka diberikan lesen pendudukan sementara oleh pihak berkuasa negeri, namun pada 2004 negeri menugaskan TPPT Sdn Bhd untuk menyediakan penempatan baru.

TPPT Sdn Bhd diberikan kira-kira 77 hektar tanah untuk pembangunan perumahan, termasuk unit penggantian untuk penduduk.

Bagaimanapun, TPPT Sdn Bhd kemudian menjual tanah tersebut kepada Melati Ehsan Sdn Bhd, yang berjanji untuk membina rumah gantian kepada penduduk.

Pun begitu, sebahagian penduduk menerima notis pengusiran daripada pemaju ketika rundingan mengenai rumah ganti masih berjalan.

Perkara ini mendorong sebahagian penduduk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusiran tersebut.



Source link