Malaysia Oversight

Pasya lancar “Aku Bukan Cinta”, bakal berganding dengan Search dalam Konsert Fenomena Samurai

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Pasya lancar "Aku Bukan Cinta", bakal berganding dengan Search dalam Konsert Fenomena Samurai


KUALA LUMPUR – Penyanyi sensasi tanah air, Pasya, kembali mencuri perhatian peminat muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Aku Bukan Cinta, ciptaan Ikhwan Fattana, yang dilancarkan pada 10 Oktober lalu bersama muzik video rasmi di saluran YouTube 17ElevenMusic.

Selepas menamatkan penyertaannya dalam program realiti Raise The Star, nama Pasya terus meningkat apabila menerima lebih 10 tawaran daripada komposer terkemuka tanah air untuk menyanyikan karya ciptaan mereka. Namun, penyanyi itu memilih Aku Bukan Cinta sebagai taruhan utama tahun ini kerana merasakan lagu tersebut paling dekat dengan jiwanya.

Menampilkan elemen kematangan dari segi vokal dan penghayatan, Aku Bukan Cinta membawa mesej tentang kekuatan diri dan realiti cinta yang tidak selalu berakhir bahagia. Pasya kini giat mengadakan siri promosi di stesen radio dan televisyen utama bagi memperkenalkan lagu tersebut kepada peminat di seluruh negara.

Tidak hanya aktif dalam bidang rakaman, Pasya turut mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan bakal bergabung dengan kumpulan rock legenda Search sebagai vokalis utama dalam Konsert Fenomena Samurai yang dijadual berlangsung pada 13 Disember 2025 di Stadium Sarawak, bersama kumpulan XPDC.

Konsert berskala besar itu bakal menjadi persembahan rasmi pertama Pasya bersama Search selepas beberapa kolaborasi pentas di Pulau Pinang dan Ipoh sebelum ini. Menurutnya, peluang tersebut merupakan satu penghormatan besar dalam perjalanan karier seninya.

“Saya bersyukur atas rezeki dan peluang yang datang selepas Raise The Star. Lagu Aku Bukan Cinta amat istimewa kerana ia menandakan permulaan baharu dalam kerjaya saya. Dapat berdiri sebaris dengan legenda seperti Search pula adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Dengan pelancaran single terbaharu dan konsert mega yang bakal berlangsung Disember ini, Pasya optimis tahun 2025 akan menjadi lembaran penting dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi lelaki paling menonjol dalam industri muzik Malaysia.





Source link