KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lunak dan bertenaga, Ernie Zakri kembali dengan taruhan terbaharu berjudul Dansa, ciptaan bersama komposer popular, John Jeeves yang turut menerajui penerbitan lagu berkenaan.
Membawa sentuhan pop moden dengan elemen funky, Dansa menyerlahkan sisi eksperimen Ernie dalam muziknya, selain menampilkan mesej segar yang mengajak pendengar merai kehidupan walaupun berdepan detik sukar.
Menurut Ernie, idea Dansa tercetus daripada keinginan untuk menyuntik semangat kepada mereka yang sedang bergelut dengan tekanan hidup.
“Kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Kadangkala kita terlalu dibebani sehingga lupa menikmati apa yang ada di depan mata,” katanya ketika berkongsi mengenai single terbaharu itu.
Kerjasama erat bersama John Jeeves turut memperlihatkan keserasian kreatif antara kedua-duanya.
“Bekerja dengan John memang sentiasa menyenangkan. Aliran idea kami sangat lancar dan liriknya juga disiapkan dalam tempoh singkat kerana saya sudah jelas dengan hala tuju lagu ini. Harapan saya, Dansa dapat membantu pendengar melupakan kesedihan dan menghargai setiap detik yang hadir,” ujarnya.
Masih mengekalkan identiti pop, Ernie bagaimanapun mengambil pendekatan lebih kontemporari dan berani dalam penyampaian kali ini. Malah, penyanyi itu memaklumkan Dansa bakal dimuatkan dalam album Sahabat bagi memperkaya variasi konsep keseluruhan naskhah berkenaan.
Dengan kekuatan vokal yang tidak perlu dipertikai, mesej positif serta susunan muzik dinamik, Dansa dijangka menjadi antara karya penting dalam perjalanan seni Ernie Zakri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang penyanyi wanita terkemuka negara.
Dansa kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.





