Malaysia Oversight

25,000 tandatangan dikumpul desak Israel tak sertai bola sepak

By MkiniBM in November 5, 2025 – Reading time 1 minute
25,000 tandatangan dikumpul desak Israel tak sertai bola sepak


GLOBAL | Puluhan ribu tandatangan dikumpulkan di England bagi menjayakan sebuah petisyen yang menuntut agar Israel tidak dibenarkan menyertai sukan bola sepak antarabangsa berikutan tindakan negara itu di Gaza, selain mendesak agar perlawanan di antara Aston Villa dan Maccabi Tel Aviv dibatalkan.

Menurut Anadolu Ajansi petisyen berkenaan dilancarkan oleh Kempen Solidariti Palestin di UK dan ditandatangani 25,000 orang. Ia kemudian diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak England di Stadium Wembley oleh pengarah platform tersebut, Lewis Backon.

Backon berkata pasukan dari negara yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dan dasar aparteid tidak sepatutnya dibenarkan bermain dalam pertandingan bola sepak antarabangsa.

Aston Villa dijadual menentang Maccabi Tel Aviv di tempat sendiri dalam Liga Europa UEFA pada awal pagi Jumaat ini.

Polis West Midlands mengklasifikasikan perlawanan itu sebagai “berisiko tinggi” berdasarkan maklumat semasa serta insiden yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Kumpulan Penasihat Keselamatan yang terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan pakar keselamatan mengumumkan bahawa penyokong pelawat tidak akan dibenarkan memasuki stadium.

Bernama/Anadolu



Source link