Malaysia Oversight

PARLIMEN: Teresa dakwa AGC pilih kasih dalam kes rasuah

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwa membenarkan individu terlibat rasuah dilepaskan selepas membayar kompaun.

Katanya, tindakan sedemikian menimbulkan persoalan besar terhadap ketegasan dan hala tuju pendakwaan kes rasuah di negara ini.

Ia susulan kes melibatkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dibebaskan selepas membayar kompaun RM4.1 juta, walaupun didakwa menerima rasuah berjumlah RM5.8 juta.

Beliau turut membangkitkan satu lagi kes melibatkan seorang wakil rakyat dan pembantunya yang tidak didakwa selepas memulangkan semula duit jutaan ringgit yang disimpan di sebuah rumah.

“Beliau dituduh melibatkan rasuah RM9.9 juta. Selepas bayar denda RM4.1 juta, beliau masih simpan RM5.8 juta.

“Adakah ini hala tuju AGC, di mana tidak akan mendakwa seseorang di bawah rasuah sekiranya dia memulangkan semua duit rasuah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Teresa, ketidakadilan itu dirasakan selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng perlu berdepan perbicaraan yang berlangsung selama lima tahun tanpa sebarang bukti kukuh.

“Kalau kita lihat dalam kes Yang Berhormat Bagan yang dibicara selama lima tahun dalam mahkamah, pihak pendakwa raya tidak dapat menunjukkan apa-apa bukti bahawa beliau terima rasuah.

“Langsung tiada money trail, tiada bukti menunjukkan terrdapat apa-apa wang yang masuk ke dalam akaun. Pendakwaan hanya bergantung kepada akuan oleh beberapa saksi,” katanya. – UTUSAN





Source link