JOHOR BAHRU: Taktik licik sindiket dadah yang memproses dadah menjadi minuman jus untuk diedarkan di pusat hiburan terbongkar selepas polis merampas 115.09 kilogram bahan terlarang bernilai lebih RM11.4 juta di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri di sini.
Serbuan selama dua hari bermula Isnin lalu itu turut berjaya memberkas seorang lelaki berusia 55 tahun yang menjaga stor dijadikan makmal pemprosesan dadah berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Julai lalu dan mempunyai rangkaian pengedaran meluas di sekitar negeri ini.
“Suspek ditahan di sebuah rumah teres berpagar dan terkawal yang disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan serta pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui pelbagai jenis dadah antaranya 17 paket plastik pil ekstasi seberat 25.24 kilogram (kg); 22 paket plastik syabu (23.10 kg); 13 bekas plastik serbuk MDMA (22.43 kg) dan 13 paket plastik ketamin (13.4 kg).
“Ini termasuk 300 paket plastik serbuk pil ekstasi (11.51 kg); satu paket plastik pil erimin 5; 6,000 papan keranjang timah berisi dadah pil erimin 5 (19.41 kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ab Rahaman berkata, selain itu, turut dirampas pelbagai peralatan memproses dadah, sebuah Toyota Vios dan wang tunai RM10,000.
Tambahnya, polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencingnya negatif dadah.
Suspek direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN




