Jawatankuasa tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) telah menyampaikan keputusan keras terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kelahiran luar negara, srerta mengecam penggunaan dokumen palsu sebagai tindakan yang “menggugat asas utama prinsip bola sepak.”
Dalam keputusan bertulisnya, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Fifa, Jorge Palacio, berkata jawatankuasa itu “berpuas hati sepenuhnya” bahawa sijil kelahiran yang dikemukakan oleh FAM dalam beberapa prosiding kelayakan telah dipalsukan dan/atau diubah bagi mengubah tempat lahir datuk dan nenek pemain-pemain tersebut.

Dia berkata pihak berkuasa Malaysia, melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), turut mengakui bahawa mereka tidak pernah menerima sijil kelahiran asal, sebaliknya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen asing dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.
“Pengakuan ini, menurut jawatankuasa, menunjukkan bahawa proses pengesahan oleh kerajaan Malaysia mungkin tidak berdasarkan dokumen asal, yang menimbulkan persoalan terhadap ketelitian proses pengesahan FAM.
“Berdasarkan penemuan ini, jawatankuasa memutuskan bahawa dokumen palsu tersebut bukan sekadar formaliti, tetapi faktor penentu dalam kelayakan pemain,” kata Palacio.
Dia menegaskan bahawa hal ini memberi kesan langsung terhadap integriti perlawanan Malaysia menentang Vietnam pada Jun tahun ini, yang menyaksikan kesemua tujuh pemain tersebut diturunkan, dan keputisannya, Malaysia menang.
Kurang ketelitian, semakan sewajarnya
Palacio berkata jawatankuasa itu tidak ragu-ragu — dan bertentangan dengan dakwaan FAM bahawa mereka berhati-hati — bahawa hakikat Fifa berjaya mendapatkan dokumen asal tanpa halangan menunjukkan FAM serta tujuh pemain tersebut gagal melaksanakan tahap ketelitian dan pemeriksaan yang sepatutnya.

Dia menambah, pengakuan FAM sendiri bahawa mereka telah dihubungi oleh agensi luar berhubung asal usul pemain tetapi masih gagal mengesahkan kesahihan dokumen secara bebas, menunjukkan kekurangan ketelitian yang serius.
Palacio turut menolak hujah FAM sebelum ini bahawa pelanggaran membabitkan tujuh pemain itu hanya bersifat teknikal.
“Kesan pemalsuan ini serius dan melangkaui isu teknikal semata-mata seperti yang cuba digambarkan oleh responden,” katanya.
Dia juga menolak dakwaan bahawa Fifa pernah mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, menjelaskan bahawa surat-menyurat Fifa hanya menyatakan bahawa pemain tersebut kelihatan layak berdasarkan maklumat yang diberikan pada masa itu.
“Sekiranya Fifa menerima dokumen asal yang tidak diubah, keputusan akan berbeza,” katanya, sambil menegaskan bahawa pautan keturunan yang diperlukan sebenarnya tidak wujud.
Tunku Ismail dakwa keputusan bermotif politik
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam menyifatkan keputusan Fifa itu sebagai “bermotif politik” dan “salah guna undang-undang.”
“Fifa terus menghukum pemain dengan menyalahgunakan undang-undang, sedangkan Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa menyatakan hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dihukum, dan perkara itu tidak terpakai kepada pemain.

“Dengan kata lain, hukuman ini dijatuhkan tanpa asas undang-undang dan kelihatan bermotif politik,” kata baginda di platform X.
Tunku Ismail turut menegaskan baginda akan terus menyokong kes FAM dalam perbicaraan yang bakal diadakan di Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS).
Namun, Palacio menegaskan bahawa Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa memberi kuasa kepada jawatankuasa untuk mengenakan hukuman ke atas kedua-dua pihak — mereka yang memalsukan dokumen serta persatuan yang terlibat.
“Peruntukan ini ditulis secara luas untuk merangkumi semua bentuk pemalsuan atau penggunaan dokumen palsu tanpa mengira niat.
“Ia direka bagi menolak alasan seperti ketidaktahuan atau pematuhan prosedur, dan membawa hukuman berat kerana pemalsuan dianggap kesalahan jenayah di kebanyakan bidang kuasa,” jelasnya.

Pada 3 November, Fifa mengumumkan bahawa ia menolak rayuan FAM terhadap hukuman ke atas tujuh “pemain warisan” yang diberikan kerakyatan Malaysia berdasarkan dakwaan pemalsuan dokumen pengenalan.
Fifa turut menambah bahawa FAM dan pemain terlibat mempunyai 10 hari untuk memohon alasan penuh keputusan itu, dan 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS.
FAM sebelum ini turut melantik bekas Ketua Hakim Negara, Raus Sharif, untuk mengetuai jawatankuasa bebas menyiasat isu tersebut, dengan laporan dijangka diserahkan kepada FAM dalam tempoh enam minggu.
Tindakan cemar kepercayaan, keadilan pertandingan
Palacio berkata Fifa turut mendapati bahawa FAM dan pemain-pemain terbabit secara sedar — atau sekurang-kurangnya secara efektif — memperoleh kelebihan tidak adil dengan menggunakan dokumen keturunan palsu bagi melayakkan diri bermain untuk Malaysia.
Membayangkan kemungkinan wujudnya kerjasama dalam isu itu, Palacio berkata FAM “secara efektif, tidak sah, dan berjaya menikmati akibat daripada penggunaan tersebut,” yang menurutnya layak dikenakan hukuman sewajarnya.

“Jawatankuasa menegaskan bahawa pengemukaan dokumen palsu untuk memperoleh kelayakan bermain bagi pasukan kebangsaan merupakan satu bentuk penipuan yang tidak boleh sama sekali diterima.
“Tindakan sebegini menjejaskan kepercayaan terhadap keadilan pertandingan dan menggugat asas bola sepak yang berteraskan kejujuran serta ketelusan.
“Selain itu, pemain akhirnya mencapai matlamat mereka — memperoleh dokumen palsu, menggunakannya dalam prosiding Fifa, dan kemudiannya diturunkan dalam perlawanan rasmi yang memberi kesan ketara terhadap keputusan perlawanan.
“Rangkaian tindakan ini memperburuk kes, menunjukkan percubaan sengaja dan berjaya untuk mengelak peraturan demi keuntungan peribadi dan sukan,” kata Palacio.
Dia menambah bahawa memandangkan keseriusan situasi ini, Fifa berpendapat penggantungan perlawanan semata-mata adalah tidak memadai.
“Sekatan yang dikenakan mesti bukan sahaja menghukum salah laku tersebut, tetapi juga menjadi pengajaran dan amaran keras kepada pemain terlibat serta komuniti bola sepak secara keseluruhan, menegaskan pendirian sifar toleransi Fifa terhadap tindakan penipuan,” katanya.






