Malaysia Oversight

Arsenal mudah tundukkan Slavia Prague 3-0

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Arsenal mudah tundukkan Slavia Prague 3-0


PRAGUE: Arsenal terus garang di pentas Eropah apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Slavia Prague dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyamai rekod kelab berusia 122 tahun dengan lapan perlawanan berturut-turut tanpa bolos gol dalam semua pertandingan.

Kemenangan di Arena Fortuna itu turut memastikan skuad bimbingan Mikel Arteta mengekalkan rekod sempurna dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan peringkat kumpulan.

Bukayo Saka membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti selepas tandukan Gabriel terkena tangan kapten tuan rumah, Lukas Provod.

Sepakan leret ke penjuru bawah kanan itu gagal diselamatkan penjaga gol Jakub Markovic walaupun meneka arah dengan tepat.

Memasuki babak kedua, Arsenal terus mendominasi permainan. Hanya 36 saat selepas sepak mula, Mikel Merino  yang diturunkan menggantikan penyerang utama, Viktor Gyokeres yang cedera meledak gol kedua menerusi sepakan voli hasil hantaran silang Leandro Trossard.

Pemain tengah Sepanyol itu sekali lagi menjadi wira apabila menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-68 selepas menerima hantaran lintang Declan Rice, memastikan Arsenal membawa pulang tiga mata penuh dan kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua kejohanan.

Satu-satunya detik cemas buat The Gunners hadir lewat permainan apabila Slavia dihadiahkan sepakan penalti, namun semakan VAR membatalkan keputusan itu selepas mendapati cabaran Ben White tidak menyalahi peraturan.

Secara keseluruhan, penjaga gol Arsenal, David Raya hampir tidak diuji apabila Slavia gagal mencipta peluang berbahaya, manakala benteng Arsenal kekal utuh meneruskan rekod tanpa bolos sejak awal Oktober.

Dalam satu detik bersejarah, pemain muda Arsenal, Max Dowman, berusia 15 tahun dan 308 hari, masuk menggantikan Trossard pada separuh masa kedua, sekali gus menjadi pemain termuda pernah beraksi dalam sejarah Liga Juara-Juara memecahkan rekod yang dipegang oleh Youssoufa Moukoko (16 tahun 18 hari) ketika bersama Borussia Dortmund pada 2020.

Slavia Prague pula kekal tanpa kemenangan dalam saingan kumpulan dan hanya mengumpul dua mata selepas empat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Arsenal semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati, selain terus mengukuhkan reputasi sebagai pasukan paling sukar ditembusi di Eropah musim ini.-AGENSI





Source link