Malaysia Oversight

Parlimen: Tiket penerbangan musim perayaan antara agenda hari ini

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute


KUALA LUMPUR: Tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu merupakan antara soalan yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Vivian Wong Shir Yee (PH–Sandakan) dijangka meminta Menteri Pengangkutan memperincikan purata kos tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu pada musim perayaan sekiranya program harga maksimum RM499 tidak diteruskan .

Selain itu, Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka memberi tumpuan kepada tiga isu utama yang dibangkitkan semasa sesi soal jawab lisan melibatkan pembangunan infrastruktur keselamatan, kesejahteraan masyarakat serta kemudahan asas di negeri luar bandar.

Antara persoalan yang dijangka menarik perhatian ialah daripada Ahmad Johnie Zawawi (GPS–Igan) yang meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung status Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro di Igan yang dilapor berada dalam keadaan daif dan tidak mampu menampung jumlah anggota sedia ada.

Turut menjadi fokus, Salamiah Mohd. Nor (PN–Temerloh) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan usaha membentuk Jabatan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengiktiraf sumbangan golongan berkenaan dalam pembangunan negara.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini.– UTUSAN 





Source link