PARLIMEN | Harga tiket penerbangan ke Sabah pada musim perayaan dan isu jalan utama di Johor yang semakin sesak antara perkara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) bertanyakan menteri pengangkutan berhubung purata kos tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, Sabah pada musim perayaan sekiranya program harga maksimum RM499 tidak dilaksanakan kerajaan.
Dia juga ingin tahu sama ada kementerian bercadang atau tidak untuk mewajibkan syarikat penerbangan memaklumkan kepada pembeli jumlah subsidi tiket penerbangan yang diberikan pada sesi soal jawab lisan.
Pada sesi sama, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta menteri kerja raya menyatakan kesediaan kementerian untuk menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor yang semakin sesak akibat pertambahan kenderaan serta pembangunan pesat di Iskandar Malaysia, khususnya dalam menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Turut menarik perhatian, soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) kepada menteri pelaburan perdagangan dan industri berhubung jumlah projek pusat data yang diluluskan, unjuran penggunaan elektrik dan air serta strategi kerajaan mengimbangi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.
Selesai sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
– Bernama






