Malaysia Oversight

Namewee serah diri pada polis, ikrar takkan lari

By MkiniBM in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Namewee serah diri pada polis, ikrar takkan lari


Pemuzik kontroversi yang sudah dikenakan waran tangkap, Namewee, melaporkan diri kepada polis awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin.

Perkembangan itu dilaporkan sendiri oleh personaliti terbabit yang mengambil swafoto di hadapan sebuah balai polis selepas tiba di situ. Dia kemudian memuat naik hantaran berkenaan melalui Instagram Story.

Namewee juga berkongsi catatan yang mengatakan dia akan memberikan kerjasama penuh kepada polis sekali gus menjawab tanda tanya orang ramai dan keluarga Hsieh.

“Saya baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru. Sebelum itu, saya telah mengatur masa bertemu polis untuk membuat melapor diri dan hadir di balai.

“Sekarang saya sudahsampai, dan saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan polis untuk memberikan jawapan kepada orang ramai dan keluarga si mati.

“Saya tidak akan melarikan diri.

“Sebelum ini terdapat tujuh waran tangkap dikeluarkan untuk saya, dan setiap kali itu juga saya secara sukarela pergi menemui polis. Saya tidak pernah melarikan diri,” katanya dalam catatan itu.

Sementara itu Press melaporkan, Namewee –yang nama sebenarnya Wee Meng Chee – tiba dengan sebuah kereta di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 1.10 pagi. Selepas mengambil video swafoto di luar, dia memasuki kawasan balai untuk bertemu dengan pegawai penyiasat.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, menyatakan bahawa siasatan terhadap kematian Hsieh telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun.

Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Fadil berkata Hsieh tiba di Malaysia pada 20 Okt lalu untuk perjalanan yang dirancang selama empat hari. Pempengaruh itu bagaimanapun ditemui mati dua hari kemudian.

Pada 24 Okt lalu Namewee sudah dihadapkan di mahkamah atas dua pertuduhan berkaitan dadah.



Source link