Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, melahirkan kebimbangan terhadap kesan budaya politik kebencian di negara ini selepas sebuah kenderaan milik pusat khidmatnya di Batu Pahat, Johor, dirosakkan pada Sabtu.
Dalam satu klip video pendek yang dimuat naik di Facebook hari ini, pemimpin Amanah itu menunjukkan kerosakan teruk yang dialami sebuah Toyota Estima akibat perbuatan seorang lelaki yang kini telah ditahan polis.
Menurut Aminolhuda, lelaki itu memukul cermin hadapan kenderaan MPV itu dengan objek keras sekurang-kurangnya 17 kali, selain merosakkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin belakang.
Gambar wajah Aminolhuda yang terpampang di sisi kenderaan itu juga turut mengalami kerosakan dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu.
“Apa dosa aku, gambar aku pun nak diconteng, dikeruknya. Diketuk… Habis (rosak)..
“Terutama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah bertindak pantas.
“Walau apapun saya bimbang budaya benci kepada pimmpinan politik. Kalau benci kepada orang yang jahat, mencuri sakau harta rakyat tu tak apalah juga.
“Aku ni Allahu Akbar rakyat parlimen Sri Gading, rakyat DUN Parit Yaani lebih mengenali saya,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Amanah.

Sementara itu, polis dalam kenyataan semalam memaklumkan telah menahan seorang lelaki berusia 37 tahun berkaitan kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata siasatan membawa kepada penahanan suspek di sebuah rumah di Tongkang Pechah, Batu Pahat kira-kira jam 3 petang Sabtu.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan, pakaian dan alat yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan itu,” katanya.
Ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis telah memperoleh perintah reman selama empat hari terhadap lelaki berkenaan.
