Malaysia Oversight

Wei Jie-Sheng Hao, Su Hui-Zhing Yi ceriakan kem negara

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Wei Jie-Sheng Hao, Su Hui-Zhing Yi ceriakan kem negara


KUALA LUMPUR: Beregu muda negara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao dan Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi menyuntik semangat baharu ke kem Malaysia apabila mara ke pusingan kedua Korea Masters, semalam.

Kejayaan itu hadir selepas tiada wakil negara berjaya melepasi pusingan kelayakan pada sesi pagi di Pusat Sukan dan Budaya Universiti Wonkwang.

Weijie-Sheng Hao yang berada di ranking ke-48 dunia memastikan senyuman kembali di kem negara apabila menewaskan gandingan tuan rumah, An Yun Seong-Park Kyung Hoon 21-16, 21-13.

Beregu yang muncul naib juara Terbuka Malaysia Super 100 bulan lalu itu akan berdepan pilihan kelapan dari Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, pasangan wanita negara Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Kim Yun Ju-Lee Chae Eun dari Korea Selatan 21-12, 21-19 dalam masa 39 minit.

Mereka mendominasi set pertama namun terpaksa bekerja keras pada set kedua selepas ketinggalan 13-17 sebelum bangkit dengan tujuh mata berturut-turut untuk menamatkan saingan.

Pasangan ranking ke-84 dunia itu bakal berdepan cabaran sukar menentang pilihan ketiga dari Taiwan, Sung Shuo Yi-Yu Chien Hui.

Dalam satu lagi aksi, beregu campuran Malaysia-Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Goh V Shem gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 12-21, 19-21 kepada pasangan kembar Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen.

Sementara itu, percubaan Goh Jin Wei beraksi dalam acara beregu campuran bersama Ng Eng Cheong tidak membuahkan hasil apabila tewas 16-21, 21-10, 11-21 kepada gandingan tuan rumah, Kim Min Gun-Cho Hye Rin.

Jurulatihnya, Nova Armada berharap percubaan itu menjadi yang terakhir buat Jin Wei yang perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perseorangan wanita berikutan keadaan kesihatannya yang memerlukan pengurusan latihan berhati-hati. – UTUSAN





Source link