Malaysia Oversight

Pandelela sasar bangkit di Sukan Asia

By Utusan in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
Pandelela sasar bangkit di Sukan Asia


 

oleh KHAIRUL IDHAM MOHAMED ZARAAI

[email protected]

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menyasarkan kebangkitan di pentas Sukan Asia tahun depan selepas musim penuh dugaan akibat kecederaan yang menjejaskan prestasinya.

Pemenang pingat Olimpik dua kali itu mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu kiri yang memaksanya menarik diri di Kejohanan Akuatik Dunia dan beberapa siri utama musim ini.

Katanya, kecederaan itu turut memaksa beliau mengubah rutin latihan serta menggugurkan terjunan berisiko tinggi pada Terbuka Malaysia baru-baru ini demi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

“Saya masih rasa kesan kecederaan itu, sebab itu kami tukar satu terjunan yang lebih mudah hari ini (Ahad), tapi saya bersyukur semuanya berjalan baik,” kata Pandelela.

Pandelela mengakui musim 2025 bukan tahun terbaiknya, namun pengalaman dan semangat juang tinggi menjadi bekalan untuk kembali ke prestasi sebenar menjelang Sukan Asia.

“Sekarang saya cuma fokus untuk jaga diri dan pulih sepenuhnya. Tahun depan kami sasar untuk bangkit di Sukan Asia,” ujarnya.

Penerjun kelahiran Sarawak itu turut menegaskan masih mengekalkan gandingannya bersama juara Sukan SEA Kemboja 2023, Lee Yiat Qing selepas menunjukkan peningkatan konsisten dalam beberapa kejohanan tempatan.

“Saya masih bersama Yiat Qing. Kami akan terus berlatih dan cuba kekal konsisten. Itu paling penting untuk menghadapi kejohanan besar nanti,” katanya.

Selain Kejohanan Dunia, Pandelela juga terlepas peluang beraksi di Kejohanan Asia yang berlangsung bulan lalu selain bergelut mengekalkan tahap kecergasan sepanjang musim, sekali gus menjejaskan konsistensi prestasi yang pernah menjulangnya sebagai antara penerjun terbaik dunia.





Source link