Kementerian Luar Negeri (KLN) menjelaskan bahawa sebarang persoalan berhubung kriteria dan dasar pengambilan pekerja asing perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) selaku kementerian peneraju dalam hal tersebut.
“KLN mengambil maklum pertanyaan berkaitan nota diplomatik yang dihantar kepada kedutaan beberapa negara sumber mengenai proses rasionalisasi agensi pengambilan pekerja asing. Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkukuh amalan pengambilan pekerja asing secara beretika dan telus.
“Dalam perkara ini, Kesuma adalah kementerian peneraju yang bertanggungjawab merangka serta menetapkan dasar berhubung pengambilan pekerja asing.
“Peranan kementerian hanyalah untuk menyampaikan dasar yang telah ditetapkan kerajaan melalui saluran diplomatik yang sewajarnya. Sebarang pertanyaan terperinci mengenai dasar tersebut hendaklah dikemukakan terus kepada Kesuma,” kata sumber kementerian itu kepada Malaysiakini.
Sumber daripada kementerian itu diminta mengulas syarat baru kerajaan Malaysia bagi pengambilan pekerja asing, yang disifatkan tidak realistik, tidak adil dan berpotensi menghidupkan semula “sindiket”.
Terdahulu, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Asing Bangladesh (Baira) dan Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal (Nafea) berkata 10 kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Luar Negeri adalah “mustahil” untuk dipenuhi oleh hampir semua agensi, termasuk yang berpengalaman.
Kedua-dua persatuan itu turut mendakwa syarat ini hanya helah untuk mengawal pasaran dan menyingkirkan agensi baru, selain beberapa individu di Malaysia menjadi “dalang” di sebalik cubaan menghidupkan semula sistem sindiket.

Mengulas lanjut, sumber KLN menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Kesuma bagi memudahkan rundingan lanjut bersama negara-negara sumber tenaga kerja.
“KLN kekal komited membantu mencapai penyelesaian bersama dalam isu tenaga kerja asing melalui kerjasama diplomatik yang konstruktif,” katanya.
Kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) menetapkan 10 kriteria wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.
Surat bertarikh 27 Okt itu dihantar dari Kementerian Luar Negeri (KLN) kepada kedutaan negara-negara sumber (negara layak menghantar pekerja asing) dan meminta kerajaan masing-masing menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat itu selewat-lewatnya pada 15 November 2025.
Antara syarat yang dianggap kontroversi ialah agensi yang ingin menghantar pekerja asing ke Malaysia perlu mempunyai pengalaman mengurus sekurang-kurangnya 3,000 pekerja dalam lima tahun dan menempatkan pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara.
Malaysiakini telah melihat sendiri surat berkenaan.
Syarat lain yang ditetapkan ialah perlu mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap besar (≥10,000 kaki persegi) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan mempunyai pusat latihan sendiri.
Pada September tahun lalu, media antarabangsa melaporkan bahawa pemilik sebuah agensi pekerja membuat laporan polis ke atas 103 individu (pemilik agensi) atas dakwaan terlibat dalam sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.
Laporan polis itu merujuk dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan proses penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia, menerusi agensi yang dipilih melalui memorandum persefahaman (MOU) antara dua negara yang ditandatangani pada 19 Disember 2021.
Lebih 480,000 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia antara 2022-24 melalui agensi (103 agensi) yang dilesenkan oleh kedua-dua kerajaan.
Beberapa NGO tempatan dan Bangladesh, mendakwa keputusan kedua-dua negara hanya membenarkan 103 agensi sahaja untuk membawa masuk pekerja asing mengakibatkan ramai pekerja terperangkap dengan jaminan palsu setelah membayar sehingga RM25,000 yuran pengambilan, selalunya melalui hutang.






