PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen untuk menuntut akauntabiliti dalam pengurusan bola sepak negara, sambil memastikan segala tindakan tidak melanggar Statut FIFA yang melarang campur tangan kerajaan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif bagi meneliti isu melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“KBS menyokong penuh siasatan bebas ini kerana hasilnya akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah pembetulan dan penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh FAM.
“Kami mahu proses ini dijalankan dengan telus, berintegriti dan tidak menjejaskan kedudukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan secara langsung boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA, sekali gus menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.
Katanya, penggantungan seperti itu akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada skuad utama kebangsaan, malah turut melibatkan semua pasukan bawah umur, Malaysian Football League (MFL), Amateur Football League (AFL) serta kelab-kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia.
Mengulas lanjut, Hannah mengingatkan bahawa beberapa negara pernah digantung oleh FIFA kerana campur tangan kerajaan termasuk Indonesia, Zimbabwe, Chad, Benin dan Brunei yang menerima nasib sama akibat tindakan pihak berkuasa terhadap persatuan masing-masing.
Jelasnya, kesemua contoh itu menunjukkan ketegasan FIFA dalam menegakkan Statut 15(c) yang menuntut setiap persatuan bola sepak kekal bebas daripada pengaruh politik atau kerajaan.
“Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan sama. Kita mesti mencari keseimbangan antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara,” katanya. – UTUSAN






