Malaysia Oversight

FAM terjerat, tanggung aib tempahan sendiri

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 3 minute
FAM terjerat, tanggung aib tempahan sendiri


ULASAN SUKAN | Setelah puas mencuba, FAM akhirnya tidak ada pilihan lagi kecuali akur kepada hakikat yang mereka gagal dalam misi untuk melembutkan hati Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Niat mahu membebaskan diri kini bertukar kepada episod sedih gara-gara hukuman denda asal ke atas badan induk itu – yang turut membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya – dikekalkan.

Difahamkan FAM akan menulis kepada Fifa untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan amat perit itu. Mereka diberi tempoh 10 hari berbuat demikian.

Jika tidak dilayan, langkah seterusnya ialah menagih simpati daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland sebagai saluran terakhir untuk menyelamatkan maruah bola sepak negara.

“FAM sudah menerima keputusan rayuan daripada Fifa. Rayuan kami ditolak,” kata pemangku Presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi, dalam kenyataan rasminya mengenai isu berkenaan.

Jawapan oleh Jawatankuasa Rayuan Fifa bertukar menjadi satu igauan buat semua peminat bola sepak tanah air pada saat ini.

Kegagalan di Zurich akan menyaksikan rayuan kes itu bakal berpindah ke Lausanne pula.

Ringkasnya, nasib bola sepak Malaysia bakal ditentukan di sebuah negara neutral, iaitu Switzerland.

CAS yang ditubuhkan pada 1984 ialah sebuah institusi antarabangsa bebas yang mencari jalan membantu menyelesaikan pertikaian membabitkan sukan. Ia lebih kerap dipanggil ‘supreme court of sport’ (mahkamah tertinggi sukan).

Tunggu nasib di Lausanne

Difahamkan, badan berkenaan juga tidak dapat membuat sebarang keputusan dengan pantas melainkan melakukan prosedur secara berperingkat-peringkat dan terperinci sehingga dapat mencari jawapan tepat.

Perbicaraan itu juga dijangka akan diheret agak lama.

Sejak 30 Okt lalu, komuniti bola sepak kita ‘tidak dapat tidur lena’ menunggu keputusan Fifa. Namun, berita yang ‘memeranjatkan’ pelbagai pihak itu sudah diterima – dan kita terus dihukum hampa.

caa561383dcdd6847f90e95347bf865b

Perlu diingatkan, ada sedikit kelegaan di situ apabila hukuman denda tidak membabitkan pengurusan skuad Harimau Malaya yang akan berfungsi seperti biasa.

Bererti ketua jurulatih, Peter Cklamovski, dan anak didiknya akan mengharungi perlawanan kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal (18 Nov) dan Vietnam (31 Mac) akan berlangsung seperti dijadualkan.

Jika menang kedua-dua pertemuan itu bermakna Malaysia adalah juara Kumpulan F dan menempah tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi.

Tapi dalam situasi sekarang, kita terpaksa menunggu saja perbicaraan CAS di Lausanne nanti.

Faktor yang mendebarkan ialah sama ada Harimau Malaya berdepan kemungkinan dikenakan potongan mata bersabit kesalahan memalsukan dan mengubah dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan itu.

Harap-harap senario seperti itu dapat dielakkan.

AFC pun ada harapan

Jika denda potong mata diputuskan Fifa, bererti perkembangan tersebut bakal menguntungkan Vietnam. Berita terbaru itu juga pasti melihat peminat bola sepak mereka melonjak-lonjak kegembiraan.

Hal itu kerana Malaysia menggunakan khidmat tujuh pemain warisan baru apabila menentang skuad bergelar Naga Emas itu dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pada 10 Jun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil. Malaysia menang 4-0.

Apa pun, Vietnam pasti mahu menang secara merit menewaskan Laos pada 18 Nov nanti dan Malaysia (Mac 31 2026). Dapat difahami jika mereka sedang memendam dendam yang membuak-buak.

Sama ada suka atau tidak, FAM terpaksa menunggu lagi. Ada yang melihat FAM semacam meniti detik kekalahan pada saat ini.

Dalam situasi sekarang, pihak yang terasa lega sedikit ialah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang sebelum ini sabar menunggu keputusan muktamad daripada Jawatankuasa Rayuan Fifa.

Badan berkenaan mahu mendapatkan kepastian mengenai status FAM dan tujuh pemain warisan itu sebelum dapat membuat tindakan susulan.

Terdahulu, AFC juga amat mengharapkan segala kemelut itu dapat berakhir sebelum 31 Mac 2026.

Kenapa tarikh itu?

Ia kerana keputusan muktamad dari Zurich dapat membantu kelancaran persiapan badan induk benua itu mengadakan persiapan ke arah majlis pengundian pusingan akhir Piala Asia 2027.

Namun, AFC kini perlu menunggu sehingga CAS memberi jawapan hasil perbicaraan kes mahkamah nanti. Itu pun jika FAM mahukan bantuan mereka selepas sudah tawar hati agaknya dengan pendirian Fifa.

Semua mata pengikut bola sepak dunia kini akan beralih dari Zurich ke Lausanne.

Sehingga itu juga, peminat bola sepak tanah air akan terus sibuk semula melayari sesawang Fifa, CAS dan FAM mencari berita terkini sehingga lewat malam.

Rasa-rasanya mereka tidak akan melupakan nama Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – buat selama-lamanya.

Ini semua kerana sebuah episod ‘bercita-cita besar’ ciptaan FAM sendiri.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link