Malaysia Oversight

Amanah tonjol peribadi ustaz Mohd. Julpikar tarik undi DUN Sulabayan

By Utusan in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
Amanah tonjol peribadi ustaz Mohd. Julpikar tarik undi DUN Sulabayan


KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) akan menonjolkan peribadi Ustaz Mohd. Julpikar Ab. Mija yang diangkat sebagai calon usaha menarik sokongan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November ini.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berkata, pendekatan itu menjadi strategi utama Amanah untuk memenangi kerusi tersebut selari dengan cita rasa pengundi di negeri berkenaan yang mengutamakan soal calon.

Katanya, hasil pemerhatian yang dilakukan, Amanah mendapati Ustaz Mohd. Julpikar merupakan calon tepat diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab tersebut.

“Beliau (Ustaz Mohd. Julpikar) merupakan antara anak tempatan yang berjaya dalam bidang pendidikan di kawasan berkenaan sehingga bergelar doktor falsafah.

“Selain itu beliau pernah menerima anugerah sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat Semporna. Bagi Amanah, beliau adalah calon terbaik dan kita akan tonjolkan peribadi Ustaz Mohd. Julpikar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jelajah Dron Pertanian 2025 yang dirasmikan oleh Pengerus Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Samad di sini hari ini.

Khalid memberitahu, melihat kepada situasi itu Amanah yakin Ustaz Mohd. Julpikar mampu memenangi kerusi DUN Sulabayan nanti.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Ustaz Mohd. Julpikar Ab. Mijan yang merupakan pengasas sebuah pusat tahfiz sebagai calon DUN Sulabayan bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Mohd Julpikar merupakan seorang pendidik, aktivis sosial dan tokoh masyarakat dari Semporna yang aktif dalam bidang pendidikan serta pembangunan komuniti.

Calon ini berkelulusan Sarjana Muda Hukum (Syariah dan Undang-Undang) dari Universitas Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia serta mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pendidikan, dakwah dan penglibatan dalam badan bukan (NGO).-UTUSAN





Source link