Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni menggesa dasar baru bagi menangani masalah dadah, berasaskan pendekatan kesihatan awam, pengurangan kemudaratan dan hak asasi manusia.
Pendekatan itu disifatkan sebagai pemulihan yang lebih berkesan serta berperikemanusiaan.
Lukanisman berkata ketagihan dadah tidak seharusnya terus dilihat sebagai jenayah, sebaliknya penyakit yang memerlukan rawatan, intervensi dan sokongan komuniti.
“Apabila kita memilih untuk merawat dan memulihkan berbanding menghukum, kita bukan sahaja menyelamatkan nyawa.
“Kita juga menyatukan keluarga, mengembalikan maruah dan membina masyarakat yang lebih penyayang,” katanya ketika merasmikan persidangan Dasar Dadah Malaysia 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang kemucak dua hari ini anjuran Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah naungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), dan menghimpunkan lebih 170 peserta termasuk 14 delegasi antarabangsa yang terdiri daripada pakar kesihatan awam, pegawai penguat kuasa, ahli akademik, profesional bidang psikiatri dan ketagihan, serta wakil NGO dan pusat rawatan komuniti.
Sidang itu akan membincangkan penilaian semula dasar dadah negara dengan menekankan keperluan dasar yang lebih inklusif, berteraskan bukti dan menekankan nilai kemanusiaan serta kesejahteraan masyarakat.
Lukanisman berkata, dasar baru menangani masalah dadah perlu memberi tumpuan kepada pendekatan biopsikososial-spiritual, yang menggabungkan rawatan farmakologi dan bukan farmakologi, disokong intervensi psikososial serta jaringan komuniti.
“Kementerian Kesihatan (KKM) komited memperkukuh perkhidmatan rawatan dadah secara menyeluruh di seluruh negara.
“Ini termasuk 111 klinik kesihatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan ketagihan, 10 hospital dengan kemudahan psikiatri bagi rawatan penagihan, dan program rawatan metadon di lebih 413 klinik kesihatan kerajaan serta 234 klinik swasta,” katanya.
Dia berkata isu dadah perlu dilihat sebagai cabaran kesihatan awam dan sosial yang kompleks, dan memerlukan pendekatan bersepadu antara sektor kesihatan, pendidikan, keselamatan dan masyarakat awam.
“Perubahan sebenar memerlukan peluang, keberanian dan kolaborasi rentas sektor. Bersama-sama, kita membina Malaysia di mana individu yang terjejas oleh ketagihan mendapat rawatan dan pemulihan, bukan hukuman,” katanya lagi.
Berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Malaysia merekodkan 192,857 individu terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah pada 2024, dengan 60.3 peratus (116,245) terdiri daripada golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun.
Jenis dadah yang paling banyak disalah guna ialah Amphetamine-Type Stimulants (ATS) sebanyak 72.5 peratus, diikuti oleh opiat (20.6 peratus) dan kanabis (3.7 peratus).






