SERDANG: Seramai 5,000 atlet kolej Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Kejohanan Merentas Kampus dan Majlis Perasmian Sukan Kolej UPM Sesi 2025/2026 yang berlangsung pada Ahad lalu di Stadium UPM.
Kesemua atlet berkenaan mewakili sembilan Kolej Kediaman UPM, sekaligus telah memeriahkan lagi kejohanan anjuran tahunan Akademi Sukan UPM.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, Dr. Mohd. Hakiman Awang @ Mansor yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPM.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd. Hakiman menekankan kepentingan aktiviti kesukanan sebagai wadah membentuk sahsiah dan kesejahteraan diri pelajar.
Beliau turut menegaskan bahawa program seperti Sukan Kolej menjadi antara platform penting di bawah inisiatif PutraSihat UPM dalam usaha memupuk budaya hidup aktif, meningkatkan kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental mahasiswa.
“Program seperti Sukan Kolej ini juga menjadi salah satu wadah penting di bawah inisiatif PutraSihat UPM dalam usaha memupuk budaya hidup aktif, meningkatkan kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental, selain melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.
“Saya ingin mengajak para pelajar untuk menjadikan penyertaan dalam sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup universiti, serta berani menyahut cabaran untuk mewakili UPM dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Dr. Mohd. Hakiman turut melepaskan atlet bagi acara larian merentas kampus sejauh tujuh kilometer bagi kategori lelaki dan lima kilometer bagi kategori wanita.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban.
Program anjuran Akademi Sukan itu mendapat kerjasama yang baik daripada pengurusan kolej dengan masing-masing menghantar atlet terbaik untuk mengharumkan nama kolej kediaman.-UTUSAN






