PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi berdepan desakan supaya meletak jawatan yang kali ini oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad – namun dia menegaskan, “sudahlah.”
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar tidak menyebut nama sebarang individu, tetapi jelas merujuk kepada kritikan Mahathir semalam berhubung perjanjian dagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS).

“Saya nak sebut di sini isu hangat di sebelah sana, isu perjanjian perdagangan. Terkait bukan sahaja Malaysia, tetapi juga Asean.
“China gergasi ekonomi baru ini masih berunding soal tariff dengan Amerika Syarikat. Kita tidak terkecuali,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
“Ini bukan soal menyerah, soal khianat, soal gadai, soal penjajahan baru…
“Nak suruh turun sekali lagi pula? Berapa kali nak suruh turun? Sudahlah,” katanya.

Menjawab soalan Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), Anwar menjelaskan fokus Malaysia adalah untuk memperkukuh perdagangan intra-Asean, selain menjelaskan kesan perjanjian Malaysia-AS yang turut memberi impak kepada rantau ini.
“Tetapi yang saya nak tekankan di sini adalah, masalah hubungan China-Amerika soal perdagangan itu rundingannya di sini, di Kuala Lumpur.
“Pasukan China dan Amerika tiga hari tiga malam berunding di Kuala Lumpur sebelum pertemuan Presiden Trump dan President Xi Jinping baru-baru ini, jadi ada juga jasa dan khidmat kita,” katanya.

Semalam, Mahathir bersama beberapa NGO dan parti politik mengumumkan 12 resolusi bersama bagi menolak perjanjian dagangan Malaysia-AS.
Antaranya, mereka menegaskan klausa keluar atau exit clause yang disebut oleh Anwar hanyalah helah yang tidak akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada perangkap perjanjian itu.
“Satu-satunya exit clause yang ada sekarang adalah untuk Anwar dan kabinetnya bertanggungjawab dan meletakkan jawatan,” kata Mahathir.






