SHANDONG: Sebuah gimnasium di Bandar Binzhou, wilayah Shandong, China, mencuri perhatian apabila mengumumkan tawaran luar biasa iaitu sebuah kereta mewah Porsche Panamera kepada peserta pertama yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 100 paun (45 kilogram) dalam tempoh tiga bulan.
Untuk menyertai cabaran itu, peserta perlu membayar yuran sebanyak 10,000 yuan (RM5,897) yang merangkumi latihan intensif selama tiga bulan, penginapan dan makanan. Setiap peserta akan ditimbang sebelum memulakan program penurunan berat badan.
“Cabaran ini masih berlangsung, dan pendaftaran akan ditutup apabila jumlah peserta mencapai 30 orang. Setakat ini, tujuh hingga lapan orang sudah mendaftar,” kata Wang, jurulatih kecergasan di gim tersebut kepada media tempatan.
Walaupun promosi itu menarik perhatian ramai yang teruja dengan peluang menurunkan berat badan sambil berpeluang memenangi kereta mewah, pakar perubatan memberi amaran cabaran tersebut boleh membahayakan nyawa peserta.
“Menurunkan berat badan sebanyak 0.5 kilogram sehari adalah terlalu cepat.
“Kecuali seseorang itu mengalami obesiti teruk, kadar penurunan sebegitu akan menyebabkan kehilangan otot, bukan lemak dan boleh membawa kepada ketidakseimbangan hormon, keguguran rambut serta gangguan haid. Sasaran yang lebih selamat ialah sekitar 0.5 kilogram seminggu,” kata seorang pakar perubatan.
Pakar gastroenterologi dari Hospital Wilayah Shaanxi, Dr. Fu Yansong, turut memberi amaran penurunan berat badan mendadak berbahaya.
“Proses turun berat badan perlu berperingkat supaya otak, tisu lemak dan organ dalaman dapat menyesuaikan diri dengan keseimbangan tenaga yang baharu,” jelasnya.






