Kerajaan Umum Tambahan Kuota BUDI95 800 Liter Untuk Pemandu Seru-Pandu Yang Layak
Amy Maizuraa
Antara isu utama dalam pelaksanaan BUDI95 ialah kelayakan subsidi bagi pemandu seru-pandu sepenuh masa, memandangkan jumlah yang ditetapkan sebelum ini dianggap tidak mencukupi.
Sebagai tindak balas, kerajaan telah menaikkan had subsidi kepada 600 liter sebulan. Namun begitu, masih terdapat pemandu yang berpendapat jumlah tersebut belum memadai untuk menampung keperluan operasi harian mereka.

Terbaharu, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had subsidi BUDI95 kepada 800 liter sebulan bagi pemandu yang layak. Penambahan ini turut disertakan dengan syarat jarak minimum perjalanan sebanyak 5,000km sebulan, tertakluk kepada ketetapan yang ditentukan.
Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menyenaraikan teksi lapangan terbang sebagai kenderaan yang layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Setakat ini, lebih 53,900 pemandu seru pandu sepenuh masa layak menerima siling penggunaan BUDI95 sebanyak 600liter sebulan sejak 13 Oktober lalu. Menurut Kementerian Kewangan kenaikan sekali ganda ini dibuat hasil semakan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Selain itu, lebih 11,400 pemegang lesen memandu turut layak menerima BUDI95. Mereka terdiri daripada 11,200 pemandu yang baru memiliki lesen dan 260 pemandu yang telah memperbaharui lesen. Secara keseluruhan, lebih 16 juta rakyat Malaysia kini menerima manfaat di bawah program BUDI95.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






