RedMagic 11 Pro Dengan Sistem Penyejukan Cecair Dilancarkan Ke Pasaran Global
Effi Saharudin
Dua minggu lalu RedMagic 11 Pro+ dilancarkan sebagai telefon pintar pertama dengan sistem penyejukan cecair seakan sebuah PC. Hari ini RedMagic mengesahkan RedMagic 11 Pro+ akan ke pasaran global menggunakan nama RedMagic 11 Pro.

Sistem penyejukan cecair RedMagic 11 Pro dapat dilihat dengan jelas pada panel belakang. Cecair ini akan bergerak apabila sedang aktif dengan ia dipadankan dengan plat penyejukan kebuk asap terbesar pernah digunakan pada telefon pintar yang dipadankan pula dengan bahan logam-cecair bagi meningkatkan kecekapan menyerap haba.
Skrin 6.85-inch OLED BOE X10 dengan kadar segar semula 144Hz dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, memori sehingga 24GB LPDDR5T RAM, storan sehingga 1TB UFS 4.1 dan bateri 7500mAh. Bateri menyokong pengecasan 120W berwayar dan 80W secara nirwayar.

Kamera utama pula ialah lensa sudut lebar 50MP 1/1.55″ f/1.88 dengan OIS dan lensa ultra sudut lebar 50MP f/2.2 aperture. Di hadapan pula kamera swafoto 15MP disertakan. Peranti mempunyai sistem imbasan cap jari bawah skrin, speaker stereo, pemancar infra merah dan kemampuan kalis air IPX8. Sistem operasi yang digunakan ialah Redmagic OS 11 berasaskan Android 16.

Harga jualan di Malaysia belum lagi diumumkan tetapi di pasaran global ia dipasarkan pada harga bermula $699 (~RM 2943) sebuah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






