PETALING JAYA: Hasrat peminat badminton tempatan untuk menyaksikan kebangkitan semula pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak kesampaian apabila menarik diri daripada Kumamoto Masters yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 November ini.
Zii Jia, yang kini menghuni ranking ke-63 dunia, pada awalnya dijangka membuat penampilan semula di Jepun selepas tidak menyertai siri kejohanan Eropah bulan lalu.
Namun, semakan di laman rasmi kejohanan awal pagi tadi mengesahkan namanya disenaraikan dalam senarai penarikan diri.
Selain Zii Jia, antara nama besar lain yang turut menarik diri dalam acara perseorangan lelaki ialah pemain No.2 dunia dari Denmark, Anders Antonsen, juara Olimpik dua kali Viktor Axelsen dan bintang Indonesia, Jonatan Christie.
Zii Jia kali terakhir beraksi pada China Masters, September lalu, namun menarik diri pada pusingan pertama menentang Lin Chun Yi dari Taiwan.
Sejak itu, dia terpaksa berehat panjang dengan tidak menyertai Terbuka Arctic, Denmark, French dan Hylo bagi memulihkan kecederaan belakang.
Bagaimanapun, penarikan diri terbaharu ini memberi bayangan bahawa masalah kecederaan tersebut masih belum pulih sepenuhnya.
Malaysia kini akan bergantung kepada Leong Jun Hao (No.22 dunia) dan Justin Hoh (No.36 dunia) untuk membawa cabaran negara dalam kejohanan bertaraf Super 500 itu. – AGENSI






