PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli kini berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan 75 mata selepas berakhir pusingan keenam pada Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol, kelmarin.
Anak muda berusia 18 tahun itu yang bermula dari petak ke-14 menamatkan aksinya dalam perlumbaan 1 di kedudukan kesembilan (7 mata) dan pada perlumbaan 2, dia menutup saingan di tangga keenam (10 mata).
Berjaya menokok 17 mata, meletakkan Hakim Danish dalam kelompok 10 terbaik yang sekali gus menyaksikan anak kelahiran Terengganu itu muncul sebagai pelumba Asia terbaik di JuniorGP.
Hanya berbaki satu lagi pusingan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, 23 November ini, sebelum musim 2025 menutup tirai, Hakim Danish akan mengisi kelompongan waktu dua minggu itu selakupelumba ganti pasukan MT Helmets-MSi pada perlumbaan Moto3, Kejuaraan Motosikal Dunia.
Hakim Danish berkata, untuk melengkapkan pusingan keenam FIM JuniorGP, dia terpaksa mengharungi minggu yang cukup mencabar.
“Walaupun saya bermula di petak ke-14, saya berjaya menamatkan perlumbaan 1 di kedudukan P9 dan perlumbaan 2 di P6,” katanya dalam satu kenyataan..
Mengulas lanjut mengenai perlumbaan 2 yang direncat dengan insiden kemalangan, Hakim Danish berkata, saingan tersebut memang gila, semua pelumba sangat agresif, termasuk dirinya sendiri
“Tetapi kami masih mengharungi satu perlumbaan yang hebat dan masih ada pusingan terakhir di Valencia,” kata pelumba SIC Racing-MSi itu.
Bagaimanapun, kata Hakim Danish, sebelum fokus diberi kepada perlumbaan pusingan terakhir itu, dia terlebih dahulu perlu menyempurnakan dua tugasan pada Kejuaraan Dunia di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, hujung minggu ini dan Litar Ricardo Tormo, Valencia, minggu berikutnya.
Untuk JuniorGP, pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang melengkapkan aksinya dalam perlumbaan 1 dan 2 sebagai naib juara di Barcelona dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi musim 2025 selepas mengumpul 199 mata, dengan kelebihan 66 mata berbanding Marco Morelli yang menghuni tempat kedua.-UTUSAN






