PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis penolakan rayuan oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung denda dan penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada FIFA di mana rayuan kami telah ditolak.
“FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS.
“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.
“Bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata Yusoff.
Terdahulu FIFA dalam satu kenyataan mengesahkan jawatankuasa rayuan badan induk itu menolak rayuan FAM dan mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Badan induk itu memaklumkan rayuan FAM serta pemain Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.
Menurut FIFA, FAM mempunyai tempoh sepuluh hari untuk memohon keputusan yang disertakan alasan penuh, dan selepas pemberitahuan ini, pihak-pihak terlibat mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat rayuan kepada CAS.-UTUSAN






