ULASAN | Arus perubahan dalam kepimpinan negara bergerak perlahan, namun tidak boleh dinafikan kesannya. Generasi wanita muda kini tampil bukan sekadar simbol perubahan, malah sebagai penentu arah dalam ruang awam dan pentadbiran.
Dipandu oleh visi yang jelas dan tekad yang mantap, penyertaan mereka mencerminkan anjakan nilai terhadap tanggungjawab bersama dan kepimpinan yang lebih inklusif.
Nama Nurul Izzah Anwar telah lama terpahat dalam sejarah reformasi negara.
Sebagai pemimpin muda yang membesar dalam gelora politik nasional, dia membawa gabungan keazaman, nilai dan daya tahan.
Kehadirannya dalam arena politik bukan sekadar kesinambungan, tetapi petanda perubahan yang matang dan berprinsip.
Bagi sebahagian rakyat Malaysia, Nurul Izzah dilihat bukan sahaja sebagai peneraju generasi baru, tetapi juga tokoh yang suatu hari nanti wajar menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri wanita pertama negara.
Ramai pemimpin wanita kita hari ini bukan sekadar perintis dalam bidang awam. Mereka juga ialah ibu, penjaga dan teladan kepada generasi muda yang mengimbangi dasar negara dengan tanggungjawab kekeluargaan.
Keupayaan untuk membina negara sambil membesarkan anak-anak, dan pada masa sama mendidik masyarakat sambil membentuk dasar, memberikan mereka pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan rakyat dan memperkukuh hubungan dengan komuniti yang dilayani.
Kepimpinan wanita di Asia bukan lagi satu pengecualian. Dari pentas politik hingga dasar awam, mereka telah membuktikan bahawa keberanian yang disandarkan pada prinsip boleh mencorak masa depan yang lebih adil.
Hasil tidak datang serta-merta
Malaysia hari ini sedang mengukir peranannya sendiri dalam lembaran sejarah ini.
Negara kita tidak ketandusan bakat. Tokoh seperti Fuziah Salleh, Saraswathy Kandasami, Fadhlina Sidek, Nancy Shukri, Dr Zaliha Mustafa dan Yeo Bee Yin telah memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar, reformasi institusi dan tadbir urus negara.
Setiap seorang daripada mereka menempuh cabaran besar, namun membuktikan bahawa kepimpinan wanita bukanlah pengecualian ia satu keperluan.
Tidak dinafikan, antara yang paling lantang dikritik ialah Fadhlina yang juga menteri pendidikan. Namun beban amanah yang digalas oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal itu bukanlah kecil.
Pendidikan bukan sekadar bidang dasar, ia adalah institusi kebangsaan yang membentuk nilai, perpaduan dan daya saing negara.

Fadhlina terhadap jutaan pelajar, puluhan ribu sekolah, dan pelbagai isu sistemik yang berakar sejak berdekad-dekad lampau.
Dalam konteks sebesar itu, hasil tidak mungkin datang segera. Maka kritikan wajar diseimbangkan dengan kefahaman terhadap kerumitan yang dihadapi.
Fadhlina berhak diberi ruang, masa dan sokongan untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Bukti menunjukkan bahawa kepimpinan wanita menghasilkan impak nyata. Dalam banyak konteks, tadbir urus yang melibatkan penyertaan wanita melahirkan keputusan lebih baik, organisasi yang lebih berdaya tahan serta hala tuju ekonomi yang lebih mampan.
Hal itu kerana wanita sering tampil dengan pandangan baru, pendekatan yang bersifat konsensus dan tumpuan terhadap kesejahteraan jangka panjang.
Cerminan komitmen negara
Oleh itu, sektor awam perlu memperkukuh komitmen untuk mengenal pasti, membimbing dan mengangkat bakat kepimpinan wanita. Pembinaan rantaian kepimpinan wanita muda mesti dijadikan keutamaan jika kita serius mahu membina ekonomi yang lebih adil dan berdaya tahan.
Peluang telah ada. Kini, yang diperlukan hanyalah kemahuan politik untuk menjadikan ia suatu kenyataan.
Isyarat menjelang PRU ke-16 tidak boleh disalah tafsir. Justeru wanita muda harus melangkah ke hadapan. Mereka telah membuktikan kemampuan dalam pelbagai bidang, dan politik tidak sepatutnya menjadi pengecualian.
Ruang untuk menyumbang semakin terbuka, dan masa untuk menyahut cabarannya ialah sekarang.
Kepimpinan yang inklusif memerlukan lebih ramai wanita tampil dengan suara dan visi mereka.
Malaysia sedang melangkah seiring dengan aspirasi serantau. Dalam persediaan Asean menyusun Agenda Pasca-2025, negara ini menegaskan iltizam untuk memperkukuh hak wanita dan kanak-kanak, mengangkat kesaksamaan jantina serta memastikan keterangkuman sosial menjadi asas pembangunan.

Komitmen tersebut bukan lagi janji atas kertas, tetapi sedang diterjemah dalam bentuk tindakan yang memberi kesan nyata kepada rakyat.
Pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS 2025–2030) pada Sept lalu merupakan titik penting.
Pelan ini menegaskan keutamaan penglibatan wanita dalam penyelesaian konflik, pembinaan keamanan dan keselamatan negara.
Ia mencerminkan komitmen serius Malaysia untuk menempatkan wanita sebagai rakan setara dalam membentuk kestabilan nasional dan serantau, bukan sebagai formaliti, tetapi sebagai agen perubahan sebenar.
Cuma mahu peluang adil
Masa depan negara yang inklusif memerlukan usaha bersepadu untuk menjadikannya kenyataan. Penyertaan wanita dalam kepimpinan tidak boleh terhenti pada tahap simbolik semata-mata. Ia harus disokong dengan mandat yang jelas dan keyakinan institusi.
Wanita telah membuktikan keupayaan. Kini hanya tinggal peluang untuk mereka menyumbang secara bermakna.
Sama ada dalam merangka undang-undang atau mengukuhkan masyarakat, wanita Malaysia telah membuktikan kesiapsiagaan mereka.
Mereka tidak menuntut layanan istimewa, sebaliknya hanya peluang yang adil.
Negara ini tidak mampu meminggirkan bakat hanya kerana ia datang dengan wajah yang berbeza.
Isu pemerkasaan wanita telah melangkaui sempadan hak asasi. Ia kini menyentuh asas daya saing negara. Tiada negara boleh bergerak ke hadapan dengan meninggalkan potensi separuh daripada rakyatnya.
Malaysia mesti berani merangkul sepenuhnya bakat, kepintaran dan sumbangan wanita sebagai teras kekuatan nasional.
Negara ini tidak kekurangan wanita yang mampu memimpin.
Apa yang kita perlukan sekarang ialah keberanian institusi untuk memberi mereka mandat sebenar. Bukan sekadar tempat duduk di meja rundingan, tetapi peranan utama dalam menentukan hala tuju negara.
MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dan kini ahli PKR.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.






