Majlis Media Malaysia (MMM) akan mengadakan mesyuarat agung pertamanya pada Jumaat ini bagi memilih lembaga tadbir badan itu, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam penubuhan badan kawal selia kendiri bagi industri media di negara ini.
Pengerusi Interim MMM, Premesh Chandran, berkata lembaga tadbir yang akan dipilih itu terdiri daripada wakil syarikat media, pengamal media, pertubuhan media, serta organisasi dan individu yang mewakili kepentingan awam.
“Lembaga yang dipilih ini akan mempunyai 12 ahli terpilih, disertai sehingga enam ahli lantikan dan dua wakil kerajaan, menjadikan keseluruhannya 20 ahli lembaga, selain seorang pengerusi lantikan.
“Lembaga baru ini akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Premesh juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli lembaga pengasas atas dedikasi masing-masing membangunkan organisasi permulaan sekarang.
“Mereka telah menyumbang sepenuhnya secara sukarela tanpa sebarang pembiayaan khusus,” katanya.
Premesh berkata, mesyuarat itu juga nanti akan membincangkan beberapa usul penting, termasuk untuk meluluskan kod etika dan mekanisme aduan, serta usul operasi berkaitan yuran keahlian, elaun pengerusi dan pembaga, dan belanjawan MMM.
Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat agung pertama berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Pengasas MMM yang telah dilantik oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Julai lalu di bawah Akta Majlis Media Malaysia.
Katanya, mandat lembaga pengasas ialah untuk membuka keahlian, memanggil mesyuarat agung pertama, dan mengadakan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pelantikan.
Premesh dalam pada itu turut menyampaikan penghargaan kepada Faiz Mustafa yang telah berkhidmat secara sukarela sebagai setiausaha interim.
“Pengalaman Faiz dalam bekerjasama dengan agensi kerajaan amat bernilai dalam membantu kami menguruskan proses dan prosedur rasmi,” tambahnya.
Sementara itu, Premesh memaklumkan kerajaan memperuntukkan kira-kira RM120,000 tahun ini bagi tujuan pembiayaan pembangunan keahlian, mesyuarat agung pertama, dan aktiviti berkaitan.
Katanya, dana tersebut diterima pada minggu terakhir Okt lalu.
Selain itu, sebanyak RM4 juta diperuntukan bagi dana operasi termasuk pejabat, sekretariat, dan aktiviti MMM yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan.
“Kami berjaya menubuhkan sebahagian besar infrastruktur awal MMM— termasuk membuka akaun bank, laman web, melantik penasihat undang-undang, membangunkan prosedur operasi dan kod etika — serta memproses permohonan keahlian dan mengatur mesyuarat agung ini sepenuhnya melalui usaha sukarela.
“Ini mencerminkan komitmen dan tekad tinggi untuk menjadikan MMM ini berjaya,” katanya lagi.






