Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak harus disalah tafsir sebagai perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Menurut bekas pengerusi parti itu, kekacauan yang berlaku kini hanyalah masalah dalaman Bersatu dan tidak menggugat perjuangan lebih besar untuk menyatukan bangsa Melayu.
“Itu perpecahan dalam parti mereka, tapi tidak ada perpecahan dari segi perjuangan untuk bangsa Melayu sendiri,” katanya pada sidang media meja bulat berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Amerika Syarikat dan Malaysia bersama parti-parti politik serta NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas pertikaian dalaman Bersatu susulan beberapa pemimpinnya didakwa hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau telah kehilangan mutu kepimpinan yang pernah dimilikinya ketika menubuhkan parti itu.
Saifuddin turut menegaskan Muhyiddin kini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti dahulu.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mendakwa Muhyiddin mempunyai personaliti yang sukar didekati, menyebabkan ramai pemimpin akar umbi lebih cenderung kepada Timbalan Presidennya Hamzah Zainudin.
Apabila ditanya sama ada dia berpihak kepada Muhyiddin atau Hamzah, Mahathir enggan memihak kepada mana-mana individu.

“Kita tidak ambil kira itu, kedua-dua mereka Melayu,” katanya ringkas.
Jelas Mahathir, keutamaan kini bukan pada persaingan individu dalam parti, tetapi usaha menyatukan seluruh umat Melayu di bawah satu gagasan besar tanpa mengira perbezaan politik.
“Ia akan menyertai payung besar sebagai orang Melayu, bukan sebagai Bersatu dan bukan sebagai pemimpin dan lain, mereka ada dalam payung besar sama macam orang lain sebagai orang Melayu yang nak pertahankan kepentingan orang Melayu,” katanya.







