Rafizi Ramli memberikan respons sinis terhadap Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan, yang mendakwa wujud kekecewaan dalam kalangan ahli akar umbi apabila beberapa pemimpin tertinggi parti menjadi “sukar dihubungi” selepas mendapat kuasa.
Rafizi mengakui dia tidak menjaga ahli akar umbi, menjelaskan bahawa sebagai parti reformasi, PKR tiada sumber kewangan untuk berbuat demikian.
Penyandang timbalan presiden itu berkata dia bagaimanapun tidak menyalahkan Ramanan yang masih baru dalam PKR. Ramanan menyertai pada 2020.
“Saya tidak boleh nak salahkan dia. Dia mungkin terkeliru dengan budaya parti lama dia (MIC) dengan parti kita (PKR).
“Jaga akar umbi seperti Ramanan cakap itu, itulah politik wang. Saya tidak jaga parti macam itu. Kalau nak kata saya tidak jaga akar umbi, saya mengaku sebab PKR ini parti reformasi. Kalau nak buat macam itu (misalnya beri wang atau hamper) baik saya masuk parti lain.
“Ramanan tidak merasai semua ini (reformasi dan demontrasi)…memanglah bila dah menang (jadi kerajaan) masuk budaya itu…sebab ini saya (dianggap) timbalan presiden yang tidak baik,” kata Rafizi dalam siaran langsung podcast Yang Bakar Menteri, malam tadi.
Rafizi berkata amalan menjaga akar umbi dengan memberikan wang menyimpang daripada nilai asal PKR.
“Budaya kita dalam PKR jaga umbi lain, kita turun ke bawah kuatkan kawan kita untuk dihormati di kawasan Parlimen dia, kita tak boleh hulurkan wang sebab parti tidak ada duit,” katanya lagi.
Rafizi juga mendakwa ada calon-calon yang bertanding jawatan ketua Wanita PKR membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli tudung, dipercayai diagihkan kepada perwakilan.
Ramanan sebelum ini membangkitkan isu pemimpin sukar dihubungi selepas menghadiri satu mesyuarat akar umbi PKR pada hari Jumaat.
Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, dia berkata bahawa pemimpin-pemimpin itu, yang dahulunya mudah didekati, kini sukar dihubungi selepas mendapat jawatan.
Dia berkata keadaan itu menyebabkan ada ahli akar umbi tidak berpuas hati dengan pemimpin berkenaan.