Kontroversi yang timbul susulan kenyataan sinis Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, terhadap seorang wartawan baru-baru ini kembali mencetuskan persoalan besar mengenai hubungan antara kuasa dan media di Malaysia. Lebih penting lagi, ia juga menonjolkan betapa perlunya semua pihak – termasuk komuniti media sendiri – untuk memahami, mendukung, dan memperkukuhkan Majlis Media Malaysia (MMM).
Insiden tersebut bukan sahaja mencemarkan kemuliaan profesion wartawan, tetapi juga menguji keseriusan negara dalam menegakkan prinsip kebebasan media. Soalan yang ditanya oleh wartawan itu sah, jelas, dan selari dengan fungsi mereka sebagai penyampai maklumat kepada rakyat dan penyambung suara rakyat.
Soalan wartawan bukan gangguan — ia adalah nadi demokrasi. Setiap soalan yang diajukan kepada seorang menteri adalah bagi pihak rakyat, dan wartawan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Itulah semangat yang dimaksudkan dalam profesion ini: bertanya demi kebenaran, melapor demi ketelusan.
Reaksi menghina atau merendahkan wartawan — meskipun secara berseloroh — adalah petanda kegagalan memahami kedudukan media sebagai alat semak dan imbang dalam sistem demokratik.

Namun, untuk media terus berperanan sebagai agen semak imbang yang berkesan, ia memerlukan dua sokongan: kebebasan yang dijamin oleh undang-undang dan struktur sokongan institusi yang dihormati semua pihak. MMM adalah antara struktur itu, hanya jika diberi peluang untuk berdiri tegak.
Insiden Nga Kor Ming harus menjadi peringatan — bukan sahaja kepada penguasa, tetapi juga kepada media sendiri bahawa perjuangan untuk kebebasan tidak pernah berakhir. Ia memerlukan solidariti, aksi bersama, dan pemahaman mendalam tentang struktur yang sedang dibentuk seperti MMM.
MMM diwujudkan khusus untuk menjadi entiti bebas yang menjaga integriti dan etika media. Ia bukan badan pengawal, tetapi sebuah platform bersama yang memperkukuhkan suara media — wartawan, pengamal media, akademik, masyarakat sivil, dan orang awam — demi memastikan piawaian profesional dipatuhi sementara hak media terbela.
Di sinilah perlunya MMM didukung secara kolektif oleh semua pemain industri media. Tidak adil untuk mengatakan MMM “berdiam diri” kerana sebelum ia beroperasi sepenuhnya, pendukung dan penggerak MMM seperti Geramm, Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), dan ramai lagi telah pun menyuarakan bantahan serta mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini.
Ekosistem sedang bekerja
Ini jelas menunjukkan bahawa ekosistem media sedang bekerja — dengan semangat solidariti — untuk mempertahankan maruah profesion dan menuntut kejelasan daripada menteri yang terlibat.
MMM bukan entiti autokratik yang bergerak atas arahan seorang atau dua pihak. Ia sebuah organisasi demokratik yang memerlukan sokongan padu dan pemahaman dari dalam — daripada wartawan sendiri, pemilik media, hingga kepada pelajar komunikasi yang bakal mengisi ruang dalam industri ini. Mendakwa MMM pasif hanya kerana belum beroperasi secara rasmi adalah tidak menyeluruh dan menafikan usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh rakan-rakan media.

Untuk makluman, ahli-ahli Sekretariat MMM kini sedang bertungkus-lumus memastikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya pada Jumaat ini (7 Nov 2025) berjalan dengan lancar, tersusun dan inklusif. Mesyuarat ini adalah sebuah proses penting untuk membentuk kepimpinan sah ke arah menggerakkan agenda besar media Malaysia. Usaha ini bukan kerja sehari dua, tetapi hasil kerja kolektif melibatkan masa, tenaga dan komitmen yang sering tidak kelihatan di permukaan.
MMM bukan hanya satu lagi entiti. Ia adalah simbol perjuangan wartawan selama berdekad-dekad. Maka, ia harus disokong, bukan disisihkan. Ditegur, bukan ditolak. Dikritik dengan membina, bukan dijatuhkan semangat.
Kerana akhirnya, wartawan bukan makhluk kebal — mereka hanya manusia.
Tetapi mereka memikul amanah yang lebih besar dari diri mereka sendiri: amanah untuk terus bertanya, dan tidak pernah berhenti bertanya.
RADZI RAZAK adalah anggota Majlis Media Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






