PETALING JAYA: Pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menasihati orang ramai agar tidak berkongsi perkembangan diri di media sosial sekiranya sudah pulih daripada gangguan sihir.
Menurut Fedtri, 44, tindakan mendedahkan keadaan diri selepas sembuh hanya akan mengundang bahaya kerana pelaku sihir berkemungkinan besar akan kembali menyerang dengan niat untuk melemahkan mangsa.
“Kalau terkena sihir, jangan kongsi perkembangan diri sama ada sudah sembuh atau belum di media sosial.
“Pelaku sihir akan pantau. Jika mereka tahu kita sudah pulih, mereka mungkin akan menyerang semula dengan kekuatan dua kali ganda. Sebab itu, lebih baik diam dan sembuh dalam senyap,” katanya.
Fedtri berkongsi nasihat tersebut menerusi temu bual dalam program audiosiar Sembang Seram yang tular baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fedtri turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tipu daya syaitan yang berusaha melaga-lagakan sesama manusia.
“Jika berubat, niatlah semata-mata kerana Allah. Perubatan Islam yang sebenar tidak akan mendedahkan siapa pelakunya kerana syaitan mahu menimbulkan permusuhan antara manusia.
”Bila tahu siapa yang kononnya melakukan sihir, manusia akan mula berdendam dan akhirnya berpecah-belah,” jelasnya.
Fedtri turut mendedahkan dalam sesetengah kes, syaitan memperdaya mangsa sehingga mereka menyebut nama individu yang tiada kaitan langsung dengan perbuatan sihir tersebut.
“Kadang-kadang orang yang dirasuk akan menyebut nama sesiapa sahaja, sedangkan tidak betul pun. Matlamat utama rawatan Islam adalah untuk menyembuhkan, bukan untuk mencari siapa pelaku.
“Ada yang sanggup bermusuh hanya kerana disebut namanya, padahal itu tipu daya syaitan,” katanya.
Beliau menambah, pengalamannya menyaksikan kes rasukan menunjukkan betapa liciknya permainan syaitan.
“Saya pernah lihat orang dirasuk boleh menyebut pelbagai bahasa, Korea, Inggeris — tetapi apabila diminta melafazkan syahadah, mereka enggan. Itu menunjukkan betapa liciknya syaitan yang mahu melihat manusia bergaduh,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai warganet bersetuju dengan pandangan Fedtri, sambil menegaskan bahawa pengamal perubatan Islam yang sebenar tidak akan sesekali mendedahkan identiti pelaku sihir.
“Betul, fitnah syaitan boleh menyebabkan pergaduhan besar,” tulis seorang pengguna.
“Dulu saya ingat kalau orang yang dirasuk sebut nama seseorang, itulah pelakunya. Rupanya tidak semestinya benar,” kongsi pengguna lain.






