Ceritanya begini. Adalah seorang artis wanita ini yang memang cukup dikenali dengan imej cantik dan bergaya.
Cik Bunga dengar, dia dikatakan baru-baru ini menjalani rawatan kecantikan di sebuah klinik estetik terkenal di ibu kota.
Tiada masalah pun bab rawatan itu, tapi yang jadi bualan adalah katanya artis berkenaan meminta untuk membuat bayaran secara ansuran.
Alasan yang diberi, kononnya bajet belum masuk dan ada urusan dengan pihak penaja yang belum selesai.
Bagi Cik Bunga, kalau betul begitu, tak apa lah. Tapi biasalah, bila cerita sudah keluar dari klinik dan singgah ke telinga orang ramai, lain macam jadinya.
Ada berpendapat, kalau belum cukup duit, tidak perlulah tergesa-gesa mahu buat rawatan. Bukannya kecantikan itu akan lari, bukan? Tangguh sekejap pun tidak apa.
Cik Bunga bukan mahu menghukum, cuma sekadar mengingatkan. Kadang-kadang, dalam usaha kita mahu nampak cantik, kita lupa tentang kemampuan diri.
Tidak salah hendak menjaga penampilan, tapi biarlah berpada-pada. Kecantikan sejati bukan hanya pada wajah yang licin atau kulit yang bersinar, tapi pada sikap dan kejujuran diri.
Kalau wajah nampak sempurna tapi cerita belakang buat orang senyum sinis, tak ke rugi?
Jadi, untuk artis berkenaan, semoga kisah ini jadi pengajaran. Tidak perlu berlumba untuk kelihatan sempurna. Cantik itu rezeki, tapi keyakinan diri dan integriti itu yang sebenar-benarnya mahal.






