Malaysia Oversight

Tapak Insinerator Rawang terpisah 300 meter dari arang batu

By MkiniBM in May 10, 2025 – Reading time 2 minute
Tapak Insinerator Rawang terpisah 300 meter dari arang batu


Loji Insinerator Sisa ke Tenaga (WTE) yang dicadangkan di Rawang, terpisah daripada lapisan arang batu oleh lapisan batuan besar setebal sehingga 300 meter.

Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) menyatakan lapisan batuan besar ini terletak secara tidak sejajar di atas lapisan arang batu berkenaan dan mencapai ketebalan maksimum 300 meter di tengah lembangan yang terdedah di tapak tersebut.

Laporan EIA mengenal pasti dua lapisan arang batu di bahagian bawah tapak projek berkenaan.

Ia terdiri daripada lapisan bawah dan atas dengan ketebalan masing-masing 7 meter dan 13 meter.

29d42d04a0ad8b2e1d5c133c5fb52bcd

Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI) menolak cadangan pembinaan insinerator tersebut kerana bimbang kawasan di Batu Arang, itu tidak sesuai memandangkan ia terletak di atas bekas lombong arang batu terbuka, yang menurut mereka menjadikan tanah tersebut tidak stabil dan berisiko runtuh.

Kumpulan itu juga berkata terdapat lapisan arang batu sepanjang kira-kira 50km di bawah kawasan Batu Arang, dan pembinaan loji WTE berpotensi menyebabkan kebakaran atau letupan.

Namun, laporan EIA tidak menyatakan panjang lapisan arang batu tersebut.

Ia menyebut bahawa lapisan arang batu atas terbentuk sekitar 10.5 juta tahun dahulu.

Bagi lapisan bawah pula, laporan menyatakan ia terbentuk kira-kira 23 juta tahun dahulu.

Laporan juga menyebut bahawa Batu Arang merupakan sebuah penempatan yang dibina untuk para pelombong ketika aktiviti perlombongan arang batu mencapai kemuncaknya.

Selain aspek geologi tapak, laporan EIA turut menyentuh mengenai hidupan liar yang akan terkesan, dan mengenal pasti 10 spesies mamalia serta burung yang perlu dipelihara.

Kucing hutan (Prionailurus bengalensis) disenaraikan sebagai hampir terancam dalam Senarai Merah Semenanjung Malaysia.

Sembilan spesies burung yang ditemui di kawasan itu juga dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Laporan itu menekankan kepentingan projek tersebut terhadap matlamat alam sekitar Malaysia.

“Kegagalan melaksanakan projek ini akan menyebabkan peluang-peluang terlepas dalam aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi serta menjejaskan matlamat kemampanan jangka panjang negara.

“Ini kerana loji tersebut akan mempercepatkan sasaran negara untuk mencapai 40 peratus tenaga elektrik daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2035.

“Dengan anggaran keupayaan penjanaan tenaga sebanyak 58 megawatt (464,000 megawatt-jam setahun), projek ini akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” tambahnya.

[Baca berita penuh]



Source link