Saifuddin Abdullah memberi gambaran kemungkinan lebih 19 daripada 25 ahli parlimen yang Bersatu tidak bersetuju dengan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen termasuk Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu merujuk kepada 16 ahli parlimen Bersatu yang menandatangani surat membantah tindakan terhadap pemecatan Wan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selain Hamzah yang turut dipanggil lemabaga disiplin parti.
Saifuddin berkata dia sengaja tidak meminta tandatangan daripada dua Naib Presiden, Radzi Jidin dan Ronald Kiandee sebelum ini.
“Kami tidak bersetuju dengan ketiga-tiga cara (tindakan diambil), bukan tak setuju dengan Lembaga Disiplin. Yang menandatangani (surat kepada Muhyiddin) 16 (ahli parlimen) temasuk tiga orang (lagi ahli parlimen – Hamzah, Wan Saiful, Wan Fayhsal) jadi 19.
“Kami sengaja tidak approach dua orang naib presiden yakni Ronald dan Radzi. Jadi, apa maksudnya… maksudnya daripada 25 ahli parlimen sekurang-kurangnya 19 tak bersetuju apa yang sedang berlaku.
“Jadi, dia mungkin lebih 19 (ahli parlimen) kan (jika termasuk dua naib presiden). Sengaja kita tak approach,” katanya ketika ditemui dalam siri Jelajah Semarak di Ampang, hari ini.
Hadir sama sebagai ahli panel dalam program itu ialah Wan Saiful dan Wan Fayhsal.
Semalam tular satu surat yang dihantar kepada Muhyiddin sebagai luahan rasa kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen Bersatu.
Surat yang ditandatangani 16 ahli parlimen Bersatu itu membantah tindakan Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal, serta tidak bersetuju untuk lembaga itu memanggil Hamzah.
Untuk rekod Hamzah mengambil keputusan untuk tidak hadir ke prosiding lembaga disiplin parti.
Enam belas ahli parlimen Bersatu yang menandatangani surat berkenaan termasuk Saifuddin (Indera Mahkota); Khlir Mohd Nordan (Ketereh); Muhammad Islahuddin Abas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Zakri Hassan (Kangar).
Turut menandatangani surat itu, Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.
Sementara itu, Saifuddin ketika ditanya kemungkinan tindakan disiplin terhadapnya kerana mendesak Muhyiddin berundur berkata dia bersedia menghadapi sebarang tindakan.
Namun dia tetap menganggap gesaannya tidak bercanggah dengan peraturan parti.
Bahkan katanya, Muhyiddin juga pernah mendesak bekas presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam Umno suatu masa dahulu.
“Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa…meminta presiden berundur tidak menyalahi perlembagaan (Bersatu).
“Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia,” katanya lagi.






