SAMBURU, Kenya: Kemarau terburuk yang melanda Kenya dalam tempoh lebih empat dekad memaksa masyarakat pengembala di wilayah utara negara itu beralih daripada menternak lembu kepada unta.
Bagi Chapan Lolpusike, pengembala dari komuniti separa nomad Samburu, kemarau panjang pada 2021 dan 2022 menghapuskan semua ternakannya, sekali gus memaksanya membuat keputusan drastik.
“Semua lembu dan kerbau saya mati. Sekarang kami hanya bela unta,” katanya.
Unta kini dianggap penyelamat kepada ramai penduduk di wilayah gersang itu kerana haiwan berkenaan mampu bertahan lebih seminggu tanpa air, memakan rumput kering serta menghasilkan susu enam kali ganda lebih banyak daripada lembu.
Kerajaan Daerah Samburu memperkenalkan Program Unta pada 2015 selepas beberapa siri kemarau mengorbankan lebih 70 peratus lembu di kawasan kering Kenya. Sejak itu, lebih 5,000 ekor unta baka Somalia yang lebih besar dan produktif diagihkan kepada penduduk tempatan termasuk 1,000 ekor tahun lalu.
Matlamat jangka panjang program itu ialah memastikan setiap keluarga di wilayah berkenaan memiliki sekurang-kurangnya seekor unta.
Pentadbir kampung, James Lolpusike berkata, walaupun ternakan unta juga berisiko dijangkiti penyakit, ia membawa perubahan positif terhadap taraf hidup masyarakat.
Katanya, kesihatan kanak-kanak turut bertambah baik hasil pengambilan susu unta yang tinggi khasiat.
Kajian oleh Universiti Meru pada 2022 mendapati susu unta mempunyai kandungan nutrisi dan terapeutik hampir sama dengan susu ibu manusia, malah mampu menyumbang sehingga separuh keperluan zat komuniti pengembala semasa musim kemarau.
Dalam kalangan penduduk, unta juga menjadi simbol harapan kerana mampu terus menghasilkan susu walaupun rumput kering kontang.






