Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Afdlin Shauki, menegur tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang didakwa melayan wartawan secara kasar dalam satu sidang media pada 29 Okt lalu.
Insiden itu berlaku ketika sidang media pra-pelancaran projek pencahayaan bandar “I LITE U”, apabila Nga meninggikan suara kepada seorang wartawan Utusan Malaysia selepas ditanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema program tersebut.
Kata Afdlin, menteri itu juga memberitahu wartawan berkenaan yang dia akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu susulan soalan yang diajukan kepadanya.
“Reaksi tersebut ditafsir oleh ramai pihak sebagai satu bentuk tekanan atau ugutan terhadap wartawan yang hanya menjalankan tugas bertanya soalan kepada pihak kerajaan.
“Tindakan itu telah mengundang kecaman daripada pertubuhan media bebas dan wakil industri kewartawanan.
“Mereka menyifatkan pendekatan memarahi wartawan secara terbuka, atau memberi bayangan akan ‘telefon editor’, sebagai tindakan yang tidak beradab dan tidak boleh diterima daripada seorang menteri dalam kerajaan yang mengaku menghormati kebebasan media,” kata Afdlin dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Afdlin dia tidak bersetuju dengan gaya kepimpinan yang menunjukkan keangkuhan, membentak wartawan, atau cuba menekan media.
“Rakyat menolak kerajaan lama dahulu bukan hanya kerana polisi mereka, tetapi kerana perangai segelintir pemimpin yang merasa kebal, menghina soalan wartawan, dan menggunakan kuasa politik untuk menekan suara orang lain.
“Kalau hari ini, ada pemimpin dalam kerajaan perpaduan yang mula menunjukkan perangai yang sama — marah bila disoal, merendahkan wartawan, mengugut akan ‘telefon bos awak’ — maka kita sedang mengulangi kesilapan yang sama yang kita sendiri pernah kutuk,”katanya.
Tambah Afdlin, rakyat kini sedang memerhati dan mereka akan hilang kepercayaan sekiranya pemimpin kerajaan gagal mengawal sikap mereka.
“Kuasa ialah amanah rakyat. Kuasa bukan lesen untuk memalukan wartawan di depan kamera. Jika kita mahu dihormati, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan hormat,” katanya.






