Malaysia Oversight

Sayap Bersatu lapor polis terhadap Nga, dakwa ancam wartawan

By MkiniBM in November 1, 2025 – Reading time 2 minute
Sayap Bersatu lapor polis terhadap Nga, dakwa ancam wartawan


Sayap Srikandi Bersatu membuat lebih 10 laporan polis terhadap Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming susulan dakwaan “mengancam” seorang wartawan baru-baru ini.

Ketua penerangannya, Nurul Syazwani Noh berkata pemimpin negeri sayap itu membuat laporan tersebut sebagai tanda solidariti dengan pihak media dan mempertahankan kebebasan bersuara.

“Kebebasan media adalah asas demokrasi yang sihat, dan sebarang bentuk intimidasi oleh ahli tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka menuntut Nga disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana penggunaan intimidasi jenayah dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana penyalahgunaan kedudukan awam untuk keuntungan peribadi dan politi.

“Kami menyeru polis dan SPRM untuk menyiasat kenyataan Nga dan mengambil tindakan segera, adil dan telus,” kata Nurul.

b700313517012ff828445c632729fe36

Nga baru-baru ini mendapat kecaman daripada kumpulan media apabila dia menegur seorang wartawan Utusan Malaysia yang bertanya soalan kepadanya dalam satu majlis.

Insiden itu berlaku dalam sidang media semasa prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Wartawan itu bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris. Nga menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Nga kemudian mengancam akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan susulan soalan yang diajukan wartawan tersebut.

“Saya tidak mahu awak datang ke sini dan menimbulkan perkara yang boleh merosakkan keseluruhan majlis. Saya akan hubungi ketua pengarang awak,” katanya.

Seruan boikot

Semalam, ketua penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid meminta agensi berita dan portal berita dalam talian untuk “memberi pengajaran kepada Nga” dengan memboikot liputan mengenainya.

Dia berkata kenyataan Nga “mencerminkan keangkuhan” seorang anggota kabinet dalam Madani dan mempersoalkan nada defensif menteri itu.

Sehari sebelumnya, setiausaha agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia, Teh Athira Yusof, mengingatkan bahawa sebagai penjawat awam, menteri mesti menghormati peranan media dalam menyebarkan maklumat dan bukannya menekan wartawan kerana menanyakan soalan.

Dia menambah Nga telah menghantar “mesej yang salah dan berbahaya,” yang menyiratkan bahawa wartawan harus dihukum hanya kerana menjalankan tugas mereka.



Source link