Mereka datang ke Malaysia tiga tahun lalu dari Bangladesh untuk mengejar janji pekerjaan yang sebenarnya tidak pernah wujud.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mempertahankan keputusan untuk mereka menuntut keadilan dengan memutuskan bahawa majikan tidak boleh melayan pekerja asing sebagai “kumpulan buruh simpanan” dan mengesahkan tuntutan gaji tertunggak 93 pekerja.
Ini susulan laporan Malaysiakini pada 2023 mendedahkan tentang syarikat Malaysia yang menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan ratusan kuota bagi mengimport pekerja warga asing daripada kerajaan.
“Pandangan ini sama sekali salah,” kata hakim Narkunavathy Sundareson, mengulangi keputusan Mahkamah Buruh November lalu yang mengkritik amalan pengambilan warga asing sebagai tenaga kerja siap sedia atas permintaan.
Mengulas lebih lanjut, Narkunavathy berkata: “Syarat kontrak adalah jelas – pekerja tidak akan dilayan sebagai stok dan dibayar seperti dan ketika mereka bekerja.
“Pekerja akan dibayar dari tarikh ketibaan mereka di Malaysia,” katanya, menolak hujah majikan bahawa ia tidak bertanggungjawab untuk membayar gaji sebaik sahaja pekerja tiba.
Majikan, Aecor Innovation Sdn Bhd, telah merayu keputusan Mahkamah Buruh sebelum ini dengan alasan bahawa kontrak tersebut tidak sah kerana ia memerlukan gaji dibayar sebelum permit kerja dikeluarkan.
Majikan juga mendakwa pekerja gagal membuktikan kes mereka kerana hanya tujuh orang yang memberi keterangan manakala selebihnya bergantung pada pengisytiharan berkanun – amalan yang dibenarkan di bawah Akta Pekerjaan.
Syarikat itu juga mendakwa bahawa Jabatan Tenaga Kerja gagal mempertimbangkan pembelaannya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan keputusan Mahkamah Buruh untuk memberikan gaji yang tidak dibayar antara RM2,000 hingga RM11,000 setiap pekerja.
Mahkamah memberikan kos dan lebih daripada RM750,000 jumlah tuntutan, termasuk RM120,000 untuk potongan secara salah untuk bil telefon, tempat tidur, peralatan dan kos pembersihan, kata peguam pro bono pekerja berkenaan Joachim Xavier dan Sahain Nada Puthucheary.
Seorang pekerja yang hadir tetapi enggan dikenali berkata dia sangat gembira dengan perkembangan itu dan menyeru semua pekerja warga asing lain yang membuat tuntutan dengan jabatan buruh untuk teruskan proses ini.
“Insya-Allah, jika anda tidak melakukan kesilapan dalam proses (undang-undang), dan dengan perpaduan dan kepelbagaian kita, anda akan memenangi kes ini,” kata pekerja tersebut.
Kesemua 93 pekerja telah mendapat pekerjaan dengan syarikat perkapalan multinasional Maersk.
Pada November 2023, siasatan Malaysiakini mendapati bahawa sindiket pengambilan warga asing yang didakwa melibatkan enam syarikat Malaysia telah membawa masuk ratusan pekerja menggunakan dokumen palsu dan dengan mengeksploitasi kelemahan dalam sistem kerajaan.
Walau bagaimanapun, dalang yang didakwa itu masih berselindung di sebalik syarikat cangkerang (shell company) yang berdaftar di bawah individu lain, tanpa meninggalkan sebarang kesan wang yang mengaitkannya secara langsung dengan operasi tersebut.
Pekerja dari dua daripada enam syarikat itu – Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd dan Aecor Innovation – membuat laporan polis pada tahun yang sama.
Walau bagaimanapun, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) tidak menemui bukti penipuan di bawah Kanun Keseksaan.
Aecor Innovation juga merupakan antara enam syarikat yang disiasat oleh JSJK selepas seorang suspek ditangkap atas dakwaan penglibatan dalam penipuan pengambilan pekerja warga asing.
Syarikat lain yang dinamakan ialah Star Domain Resources Sdn Bhd, QL-marketing Sdn Bhd, GTM Marketing, dan Buloke Holdings Sdn Bhd (Maxim).
Secara kolektif, enam syarikat itu telah memohon lebih daripada 4,000 pekerja tetapi menerima kelulusan kuota sebanyak 1,625 pekerja yang mula tiba pada Januari 2023 hanya untuk mendapati tiada pekerjaan yang menunggu mereka.
Sebahagian daripada pekerja yang telah direkrut di bawah enam syarikat itu terpaksa berpindah di sekitar Malaysia dengan membawa semua barang mereka seperti gelandangan mencari pekerjaan.






