Seorang pemimpin Pemuda Bersatu dibebaskan daripada tahanan polis hari ini berhubung siasatan hasutan yang diƒkaitkan dengan video yang didakwa mengkritik perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS yang ditandatangani dengan Presiden AS Donald Trump.
Ketika dihubungi, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, mengesahkan bahawa ahli exco sayapnya, Ashraf Khan Hayup Khan, telah dibebaskan dari lokap Dang Wangi, susulan prosiding reman.
“Polis memohon reman selama sehari, tetapi tiada lanjutan (reman) diberikan, jadi Ashraf telah dibebaskan,” kata Harris kepada Malaysiakini.
Dia menambah bahawa Ashraf diwakili oleh peguam Afiq Nardin.
Selain hasutan, Ashraf juga disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kenyataan yang menyebabkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Malam tadi, Harris dalam satu kenyataan media berkata Afiq telah ditangkap di Pulau Pinang pada jam 9.30 malam dan dibawa ke balai polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Penangkapan itu adalah berkaitan dengan video yang dimuat naik mengenai perjanjian perdagangan Malaysia-AS dan lawatan Trump ke Kuala Lumpur,” katanya, tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Trump menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas pada 26 Oktober semasa presiden AS itu melawat Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.






