Malaysia Oversight

Jepun, Korea guna bahasa ibunda sendiri tetap jadi tumpuan pelancong

By Utusan in November 1, 2025 – Reading time 2 minute
Bahasa ibunda


SHAH ALAM: Negara-negara tumpuan pelancong seperti Korea Selatan dan Jepun tetap menggunakan bahasa ibunda mereka termasuk dalam sektor pelancongan meskipun ramai pelancong asing atau ekspatriat datang ke sana.

Presiden Persatuan Tenaga Pengajar Kewartawanan, Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli berkata, negara berkenaan tetap menerima kemasukan pelancong luar yang ramai walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri.

“Kamu pergi ke negara seperti Korea, Jepun atau negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Tetapi, pelancong tetap pergi ke sana kerana ada tarikan-tarikan, bukan disebabkan bahasa.

“Satu perkara mungkin menteri terlupa, kebanyakan rakyat di negara Malaysia semua boleh berbahasa Inggeris. Bahkan, semua papan tanda menggunakan tulisan rumi, maksudnya mereka (orang luar) boleh baca. Adakah mereka tidak boleh membaca papan tanda arah Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Amirul yang juga Pensyarah Kanan Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang digunakan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk kepada Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Apa masalahnya bila tidak menggunakan bahasa Inggeris?” soalnya. – UTUSAN





Source link