Malaysia Oversight

Kenapa ‘subsidi’ jika ada pilihan harga murah?

By MkiniBM in November 1, 2025 – Reading time 5 minute
malaysiakini logo


Kenapa insentif gula yang membebankan kantung sehingga RM500 juta setahun diteruskan, lebih-lebih lagi ketika penyakit kencing manis sudah menjadi krisis? 

Kenapa pula meneruskan insentif itu ketika terdapat syarikat dapat menjualnya dengan harga lebih murah walaupun tiada subsidi?

Perkara di atas antara dua persoalan yang membingungkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sendiri.

“Keputusan Madani untuk meneruskan insentif gula merupakan satu tindakan yang mengelirukan,” kata seorang pegawai kementerian itu kepada Malaysiakini.

Pandangan itu dikongsi oleh beberapa lagi pegawai lain yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan.

“Sebenarnya, kami di KPDN tak faham insentif RM1 untuk sekilo atau RM500 juta, kononnya untuk menanggung kerugian kilang.

“Ini kerana ada syarikat tempatan menjual gula di Program Jualan Rahmah Madani dengan harga RM2.70 sekilogram.

“Harga ini tidak ada subsidi atau insentif lain, namun dan syarikat-syarikat ini masih membuat keuntungan.

“Kalau syarikat tempatan lain boleh jual dengan harga RM2.70, kenapa kerajaan perlu tanggung RM1 untuk sekilogram oleh syarikat pengeluar terbabit?” kata sumber itu.

Gula di pasaran negara ini dijual pada harga RM2.85 sekilogram walaupun harga sebenarnya bernilai RM3.85.

Ini bermakna pengguna membayar RM2.85 dan kerajaan akan menanggung RM1 untuk setiap kilogram.

Sementara itu, sumber berkenaan menunjukkan beberapa surat kelulusan permit kelulusan (AP) bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua syarikat tempatan menjual gula pada harga RM2.70 sekilogram – 15sen lebih murah.

Menurut surat yang dilihat Malaysiakini itu, mereka bagaimanapun hanya dibenarkan menjual dalam acara “jualan Rahmah saja”.

“Persoalannya, kenapa KPDN tidak memberikan kelulusan kepada kedua-dua syarikat ini menjual gula di pasaran terbuka sedangkan harganya lebih rendah berbanding harga RM3.85 (termasuk subsidi) dijual mereka?” katanya.

Usaha Malaysiakini menghubungi KPDN selama lebih dua minggu untuk mendapatkan komen tidak berjaya.

‘Gula di jualan rahmah tiada subsidi’

Bagaimanapun, di sebalik harga murah, sumber lain dari KPDN tidak melihatnya sebagai idea yang bagus.

“Keputusan itu jelas bercanggah dengan kempen kurangkan gula yang dipromosikan oleh kerajaan.

“Di satu sudut kerajaan mempromosikan kempen kurangkan gula, tapi KPDN memberi kebenaran menjual gula pada harga RM2.70 kurang RM15 sen daripada harga pasaran,” katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi kedua-dua syarikat itu untuk mendapatkan ulasan.

Terdahulu, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali mempertahankan keputusan kerajaan memberi insentif gula atas alasan pengilang mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu kerana kos meningkat.

988b4b3a36fa806a832f3e192410e1d4
Armizan Mohd Ali

Armizan juga mengesahkan pada 2023, KPDN melonggarkan syarat AP untuk membolehkan mana-mana pihak mencari sumber bekalan gula mentah pada kadar yang rendah.

Susulan itu 43 syarikat diberikan kuota import dengan jumlah 557,080 tan metrik.

Bagaimanapun sehingga 12 Dis 2023, sumber bekalan gula yang berjaya dibawa masuk hanya pada kadar lima peratus.

Menurutnya, tidak ada pihak yang berupaya untuk mencari sumber bekalan gula mentah untuk diproses dan kemudiannya dijual pada harga kawalan RM2.85.

Insentif RM500 juta tak masuk akal – pakar

Sementara itu, pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid memberitahu tindakan kerajaan membelanjakan RM500 juta untuk insentif gula sebagai tidak masuk akal.

“Ia adalah percanggahan langsung dengan kesihatan dan kesejahteraan ekonomi kita.

“Pada masa kita terpaksa meminjam hampir keseluruhannya untuk membiayai agenda pembangunan, adalah tidak logik untuk membelanjakan sebahagian besar dana awam untuk dasar yang memudaratkan kesihatan awam,” katanya kepada Malaysiakini.

0b8d3f87eff9111f6c44cc7b74cf9561
Muhammed Abdul Khalid

Bekas penasihat ekonomi kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu berkata dana berkenaan sepatutnya untuk membina hospital dan sekolah, bukan untuk mencetuskan krisis kencing manis.  

Lebih-lebih lagi, katanya, perbelanjaan pembangunan untuk kesihatan hanya meningkat sebanyak RM7 juta.

“Dengan separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan satu daripada lima menghidap diabetes, dasar fiskal kita mesti menyokong, bukan mensabotaj, matlamat kesihatan awam kita,” katanya.

Muhammed juga mempersoalkan subsidi bernilai setengah bilion ringgit hanya disalurkan kepada beberapa pemain terpilih.

“Walaupun tiada pakatan sulit yang jelas, hasilnya adalah sama: ia bukanlah persaingan yang adil.

“Ia juga menimbulkan kebimbangan yang lebih mendalam tentang ketelusan — sama ada keputusan sedemikian benar-benar memenuhi kepentingan awam atau hanya melindungi kepentingan korporat yang berakar umbi?

“Kerajaan harus segera menghapuskan subsidi gula dan menghapuskan semua keperluan AP, dan meliberalisasikan import dan membiarkan harga terapung,” katanya.

Kestabilan ekonomi makanan – Nik Sufian

Bagaimanapun, Profesor Madya Nik Ahmad Sufian Burhan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai pandangan berbeza.

Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan dan Fakulti Ekologi Manusia itu berkata keputusan kerajaan memberi insentif kepada dua syarikat gula perlu difahami dalam konteks tanggungjawab sosial dan kestabilan ekonomi makanan negara.

Katanya, kedua-dua syarikat itu merupakan pengeluar gula utama yang mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan bekalan mencukupi, termasuk di kawasan luar bandar yang sering berdepan kos logistik tinggi dan margin keuntungan rendah.

“Subsidi yang diberikan bukan sekadar kelebihan komersial, tetapi mekanisme untuk mengekang kesan kenaikan kos bahan mentah global, harga tenaga dan kadar pertukaran asing yang boleh menyebabkan harga gula meningkat mendadak.

“Syarikat lain yang tidak menerima subsidi lazimnya hanya terlibat dalam program khas seperti Jualan Rahmah, yang berskala kecil dan bersifat sementara. 

“Mereka tidak menanggung tanggungjawab nasional terhadap bekalan harian pengguna dan industri,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, pendekatan bersasar ini membolehkan kerajaan menyalurkan dana awam secara lebih berkesan, sambil mengekalkan kestabilan harga runcit.

Menurutnya, dalam jangka panjang, dasar ini membantu menjamin kelestarian industri gula tempatan, melindungi pengguna berpendapatan rendah, serta menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan makanan negara secara menyeluruh.

Syarikat terbabit juga, katanya, menanggung kos operasi yang jauh lebih besar termasuk pengilangan, tenaga kerja, pengedaran dan penyimpanan di peringkat nasional.

“Oleh itu, subsidi membantu menampung kesan kenaikan kos gula mentah antarabangsa serta kadar tukaran mata wang yang tidak menentu,” katanya.

Katanya, matlamat utama subsidi bukanlah untuk memberi keuntungan tambahan kepada syarikat, tetapi bagi mengekalkan kestabilan harga dan mengelakkan gangguan kepada bekalan gula tempatan.

“Tanpa sokongan ini, kesannya boleh dirasai oleh pengguna melalui kenaikan harga makanan dan minuman.

“Dari sudut dasar awam, pemberian subsidi kepada adalah pelaburan sosial jangka panjang yang mengekalkan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan industri.

“la juga memperkukuh kelestarian ekonomi makanan negara dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang paling terkesan oleh inflasi makanan,” katanya.



Source link